Penyelia wakil pekerja, Saiful Affandee Mohd Rais bercakap pada sidang media berkaitan tuntutan pembayaran gaji tertunggak selama sembilan bulan oleh pihak pengurusan syarikat Scomi di Restoran Syed Bistro, Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 80 kakitangan Scomi Engineering menuntut gaji yang didakwa tidak dibayar selama enam bulan.

Scomi Engineering adalah anak syarikat Scomi Group Berhad.

Syarikat itu merupakan firma penyedia penyelesaian pengangkutan  yang terlibat dalam skop mereka cipta, penghasilan dan operasi untuk monorel, bas, kenderaan khas dan juga kenderaan pertahanan dan keselamatan.

Scomi Engineering didakwa gagal membayar gaji yang tertunggak kerana dipercayai mengalami masalah kewangan.

Wakil pekerja, Mohammad Saiful Affendee Mohd Rais berkata, pihaknya sudah bertemu dengan pengurusan pada bulan lalu.

“Pertemuan itu tidak membawa sebarang jaminan.

“Kami dimaklumkan syarikat mengalami masalah kewangan dan tidak mampu membayar gaji pekerja.

“Pengurusan memberitahu yang mereka berharap beberapa bidaan kontrak yang dibuat berjaya supaya dapat keluar daripada kemelut ini,” katanya di sini.

Pekerja-pekerja yang tidak menerima gaji adalah mereka yang bertugas di kilang di Rawang.

Kesemua yang terlibat adalah pekerja tetap.

Dakwa Saiful lagi, pihaknya juga kecewa apabila pengurusan meminta kami berfikir secara rasional tentang kedudukan pekerja di syarikat itu.

“Mereka kata fikir sendiri, syarikat sudah tidak mampu bayar gaji lebih enam bulan, jadi buatlah keputusan sendiri.

“Pada saya, kenyataan itu seolah-olah syarikat lepas tangan,” ujarnya.

MGF22112018_PC GAJI TERTUNGGAK06 (2)
Penyelia, Saiful Affandee Mohd Rais bersama wakil pekerja yang lain menunjukkan kenyataan media berkaitan tuntutan pembayaran gaji tertunggak selama sembilan bulan oleh pihak pengurusan syarikat Scomi di Restoran Syed Bistro, Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2018.

MalaysiaGazette difahamkan tunggakkan yang tidak diterima itu termasuk elaun kerja lebih masa, kenderaan, tuntutan perubatan dan perbelanjaan yang didahulukan untuk syarikat.

Selain itu, syarikat berkenaan juga didakwa tidak menguruskan pembayaran Kumpulan Wang Simpana Pekerja, Socso, Pusat Zakat dan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta potongan berjadual kepada pihak bank secara berkala mengikut jadual walaupun potongan gaji telah dibuat

Malah, mereka mendakwa, aduan kepada syarikat mengenai kegagalan mereka melunaskan pembayaran itu juga telah dibuat.

Saiful yang kesal dengan cara majikannya itu menyelesaikan masalah, meminta syarikat berkenaan lebih telus dalam mengendalikan krisis.

“Kebanyakan pekerja semakin tertekan dengan keadaan ini, apatah lagi mahu meneruskan kelangsungan hidup tanpa gaji.

“Ada yang sudah menyerahkan hak milik kenderaan, kediaman dan menggadaikan harta benda,” ujarnya.

Lantaran itu, Saiful meminta Scomi memberi perhatian serius kepada nasib pekerja dengan menjelaskan gaji dan tuntutan yang dibuat.

Saiful berkata, sebagai sebuah syarikat yang mempunyai nama, Scomi sewajarnya menangani isu pekerja dengan baik.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan di Jabatan Tenaga Kerja dan perjumpaan bagi mencari jalan penyelesaian akan diadakan pada Isnin depan. – MalaysiaGazette