Khairy
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 13 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin mendesak agar Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah meletakan jawatan berhubung kenyataan terbaharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentang tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Menteri Luar harus bertanggungjawab dan meletakkan jawatan. Ini bukan kesalahan kecil. Komitmen dibuat dalam ucapan PM di UNGA,” kata Khairy dalam Twitter beliau hari ini.

Khairy merujuk kepada ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) September lalu.

Ahli Parlimen Rembau menegaskan bahawa Mahathir telah membuat komitmen untuk mengesahkan ICERD semasa perhimpunan itu.

Malah menurut bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu, Saifuddin harus bertanggungjawab kerana perkara itu telah dibangkitkan semasa lawatan Mahathir ke Papua New Guinea.

“Memang kita tak setuju dengan ICERD. Menteri Luar Negeri kena ambil tanggungjawab sebab terlajak buat komitmen untuk melaksanakan perkara yang memang takkan dapat sokongan majoriti rakyat,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Saifuddin pada Rabu lalu berkata proses ratifikasi ICERD bukan satu keutamaan bagi Malaysia buat masa ini.

Beliau juga kerajaan juga bersedia untuk menangguhkan proses berkenaan mengikut saranan umum.

ICERD adalah satu konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan merupakan satu instrument hak asasi manusia.

Ia diterima oleh Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 21 Disember 1965 dan mula berkuat kuasa pada 4 Januari 1969.

Bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan kenyataan tidak akan meratifikasikan ICERD, sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette