Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

 

KUALA LUMPUR -Susulan keputusan kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) maka sebarang perhimpunan membantahnya wajar dihentikan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menasihati orang ramai supaya tidak membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan kaum dan agama di negara ini.

“Undang-undang berkaitan hasutan masih berkuatkuasa dan tindakan tegas boleh diambil ke atas mana-mana individu yang sengaja mencetuskan sentimen kaum.

“Berhubung rancangan beberapa pihak untuk menganjurkan Himpunan Membantah ICERD pada 8 Disember 2018, saya berpandangan setelah kabinet memutuskan tidak akan meratifikasi ICERD, sebaiknya sebarang bentuk perhimpunan membantah ICERD tidak perlu diadakan. Sebarang tindakan untuk meneruskan perhimpunan ini adalah tidak munasbah,” ujarnya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Namun, menurut Muhyiddin, sekiranya pihak penganjur meneruskan juga hasrat untuk mengadakan perhimpunan tersebut beliau menegaskan bahawa penganjurannya adalah tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pihak penganjur hendaklah mematuhi peruntukan akta ini dan segala syarat yang ditetapkan oleh pihak polis, katanya.

“Jika terdapat cubaan oleh mana-mana pihak untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama menerusi perhimpunan ini, maka tindakan tegas akan diambil terhadap mereka berlandaskan undang-undang negara,” katanya.

Menurutnya, sementara kerajaan meraikan hak individu untuk bersuara dan berhimpun seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, hak-hak ini hendaklah diamalkan menurut kehendak undang-undang.-MalaysiaGazette