Wednesday, April 24, 2024
Home Ekonomi Hasil pertanian meningkat 3 kali

Hasil pertanian meningkat 3 kali

Sebahagian pengunjung yang melawat Laman Sayur-Sayuran sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA 2018) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Maeps, Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK

SERDANG – Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPK) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama enam pemasar tempatan bagi pemasaran produk sayuran dan buahan segar tempatan keluaran ahli peladang.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Hamzah Bahari berkata, menerusi MoU itu dijangka lebih banyak lagi produk segar akan dibekalkan secara konsisten ke ruang pasaran yang disediakan oleh pemasar tempatan berkenaan.

“Pemasaran hasil pertanian dijangka meningkat tiga kali ganda dalam masa dua tahun akan datang.

“Malah PPK Kuala Langat turut berjanji untuk terus mempromosikan produk, meramcang tanaman, memastikan kualiti produk serta keselamatan produk adalah terjamin dan mampu membekalkan hasil secara konsisten ke ruang pasaran yang disediakan,” katanya pada majlis menandatangani MOU sempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro 2018 (MAHA 2018)  di MAEPS di sini hari ini.

Pertukaran MoU berkenaan disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Norfaezah Omar.

Enam pemasar tempatan adalah Tesco Malaysia Berhad; Techno Fresh Sdn. Bhd., TF Value Mart, CH Leong Global, Leong Hock Seng dan Agro Processor Sdn. Bhd.

Hamzah menambah, setakat ini pertubuhan peladang kawasan Kuala Langat sudah memasarkan tujuh produk dan buahan segar tempatan dengan kapasiti 120 matrik tan sebulan.

Sementara itu, MAHA 2018 yang merupakan pameran dwi-tahunan yang masih mengekalkan tema Makanan Kita, Masa Depan Kita akan diadakan selama 11 hari bermula dari 22 November lalu sehingga 2 Disember 2018 di MAEPS. – MalaysiaGazette