Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipelawa untuk bersama-sama pihak yang memperjuangkan hak Melayu dan Islam.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, pelik jika Anwar yang sering menolak secara keras sebarang penindasan namun  masih bersama-sama dengan golongan yang keterlaluan dalam melakukan reformasi sehingga gagal mengabaikan Islam.

“Saya harap Anwar akan masuk saf (saf mempertahankan golongan yang dizalimi ditindas dan dinafikan hak).Sebab kita sekarang adalah golongan tertindas dan dinafikan hak. Itulah yang diperjuangkannya daripada dulu.

“Tidak wajar dia berada dengan pihak belah sana yang nak kata bukan Islam ada juga Islam, golongan yang buat rerformasi menggila.Canggunglah (kalau macam tu),” katanya,

Beliau berkata demikian selepas perasmian Konvensyen PERTIWI: Mempertahankan Wilayah Islam Mendepani Cabaran Dakwah Islam Era Malaysia Baharu hari ini.

Dalam pada itu, Konvensyen PERTIWI hari ini menggariskan tujuh resolusi yang akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan kerajaan Pakatan Harapan.

Antara resolusi yang utama adalah pemimpin kerajaan hari ini digesa  tidak mempromosi fahaman liberalisme dan sekularisme yang mencairkan identiti dan kedaulatan Malaysia sebagai negara Islam.

Seterusnya, semua menteri dan ahli Parlimen Melayu, institusi-institusi agama, pihak-pihak berautoriti serta NGO-NGO Islam hendaklah bersatu memberi sokongan penuh terhadap segala usaha yang menguntungkan Islam.

Selain itu, wilayah Islam yang merangkumi kuasa kepimpinan Islam dan bersepakat sesama umat hendaklah dipertahankan dalam apa juga situasi dan keadaan politik semasa.

Resolusi yang lain juga adalah berkenaan identiti dan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara Islam hendaklah dihormati dan dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia.-MalaysiaGazette