Presiden Myanmar diseru semak semula kes sabitan kesalahan menceroboh akta Rahsia oleh Lone dan Kyaw . Foto: Anadolu Agency

YANGON – Sekumpulan yang mewakili wartawan dan peguam di Myanmar menyerahkan surat kepada Presiden negara itu menyatakan kebimbangan mengenai pemenjaraan dua pemberita Reuters yang dihukum bersalah melanggar undang undang rahsia.

Surat itu diberikan kepada Presiden Win Myint semasa perasmian separa rasmi Majlis Media Myanmar (MPC).

Dalam surat itu mereka menyatakan percanggahan yang timbul dalam kes membabitkan Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, yang dihukum penjara tujuh tahun pada September lalu.

Sabitan ke atas kedua dua individu itu mencetuskan persoalan mengenai perkembangan Myanmar ke arah demokrasi dan menerima kritikan aktivis hak asasi manusia.

Pemimpin de Facto Myanmar Aung San Suu Kyi pada September berkata bahawa kes itu tidak ada kena mengena dengan kebebasan bersuara.

Suu Kyi juga mendesak masyarakat membaca penghakiman kes berkenaan dan diminta menunjukkan dimana berlakunya ketidakadilannya.

Surat itu ditandatangani oleh Rangkaian Wartawan Myanmar dan beberapa kumpulan lain termasuk dua persatuan peguam di negara itu.

Mereka mendakwa Wa Lone dan Kyaw Soe Oo digaji sebagai wartawan profesional dan kes mereka seharusnya ditangani di bawah Undang-Undang Media bukannya Undang-Undang Rahsia era kolonisasi.

“Akta Rahsia Rasmi telah diwujudkan untuk mencegah pengintipan. Dalam era moden ini akta itu tidak lagi sesuai dan perlu dikaji semula,” kata surat itu.

Malah mereka juga mendakwa hukuman tujuh tahun kepada kedua dua wartawan itu sebenarnya melarang media dan menafikan hak orang awam untuk mengakses maklumat terkini.

Jurucakap kerajaan Zaw Htay dalam sidang media dwi bulanannya pada Jumaat lalu berkata kerajaan tidak dapat mencampuri dalam kes terbabit memandangkan mahkamah Myanmar ada badan kehakiman bebas dan berkecuali.

Dia juga mengesahkan bahawa presiden menerima surat dari ahli MPC tanpa mengulas lebih lanjut.

Surat itu juga menyatakan Wa Lone dan Soe Oo mengikuti asas fakta laporan yang mempunyai kepentingan umum.

Sebelum penahanan mereka, kedua dua wartawan itu sedang menyiasat pembunuhan 10 orang lelaki dan remaja Muslim Rohingya oleh pasukan keselamatan dan penganut Buddha di wilayah barat sejak Ogos lalu.

Semasa perasmian majlis ahli baharu MPC Thar Lun Zaung Htet juga menyerahkan surat yang diterima dari isteri kedua dua wartawan malang itu dan mendesak presiden menyemak semula kes itu.

Dalam surat balas kepada Thar Lun, dikatakan bahawa Win Myint berjanji akan bertindak mengikut lunas undang undang yang ada untuk menyemak semula kes itu.- MalaysiaGazette