Tun Abdul Hamid Omar
Abdul Hamid Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad hari ini mengimbau sejarah pelantikan peguam Gopal Sri Ram sebagai hakim Mahkamah Rayuan yang didakwa oleh beliau didorong oleh hubungan erat peguam tersebut dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Sehubungan dengan itu, beliau tidak menolak kemungkinan Sri Ram yang sekarang ini diberi peranan mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang cuba ‘membodek’ perdana menteri sekali lagi untuk mendapatkan semula jawatan sebagai hakim.

“Ada seorang hakim yang bernama Gopal Sri Ram, dia nak bodek Mahathir, dialah peguam Mahathir masa kes lawan Tengku Razaleigh (Tengku Razaleigh Hamzah) hingga mencapai kemenangan,” katanya dalam Kongres Tolak ICERD di PWTC hari ini.

Menurut Abdul Hamid, disebabkan kes itu, Sri Ram terus dilantik oleh Dr Mahathir menjadi hakim Mahkamah Rayuan walaupun ketika itu beliau hanyalah seorang peguam.

Jelas beliau, langkah tersebut tidak pernah berlaku sebelum itu kerana kebanyakan hakim yang dilantik dalam kalangan peguam perlu menjalani proses iaitu menjadi pesuruhjaya kehakiman dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun terlebih dahulu.

“Saya yang berkhidmat lebih lama dalam kehakiman dan perundangan cuma dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman.

“Kami terpaksa jadi pesuruhjaya kehakiman baru naik jadi hakim Mahkamah Tinggi.

“10 tahun jadi hakim Mahkamah Tinggi baru nak rasa duduk nak jadi hakim Mahkamah Rayuan, dia (Sri Ram) lompat terus,” ujarnya.

Abdul Hamid berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta kongres dari Cheras yang bertanya, adakah rakyat boleh lagi mempercayai keputusan yang dibuat oleh Putrajaya dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu-isu yang berlaku ketika ini.

Ia termasuklah keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) hingga mencetuskan polemik terutamanya terhadap masyarakat Islam di Malaysia ketika ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid memberitahu, Seri Ram pernah terlibat mengendalikan satu kes yang mana dalam kes itu beliau telah memasukkan perbezaan perundangan sebagaimana yang diamalkan dalam proses undang-undang di India.

“Dengan tidak ada buat analisis terhadap perbezan keadaan di sini dengan di India iaitu peruntukan di sini dengan di India, terus kes itu dibawa masuk untuk perbicaraan,” tambah beliau.

Selain mengetuai kes ke atas Najib, Sri Ram juga dilantik oleh Peguam Negara, Tommy Thomas untuk mengendali kes membabitkan peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, dalam ucapannya Abdul Hamid berkata di negara India satu ketika dahulu Parlimen telah meminda akta yang dianggap tidak wajar untuk diguna pakai di negara itu.

Tindakan itu ekoran keadaan terlalu teruk gara-gara ketidakpercayaan terhadap ahli-ahli Parlimen yang menggubal dasar dengan sesuka hati.

“Parlimen India terpaksa tangguh persidangan mereka sebanyak 17 kali pada ketika itu untuk keluarkan ahli Parlimen yang ada di dalam penjara.

“Sebab 17 orang ahli Parlimen itu telah dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh.

“Oleh kerana hakim-hakim di India terlalu teruk, mahkamah India membuat keputusan bahawa ada peruntukan Perlembagaan yang tidak boleh dipinda,” ujarnya. – MalaysiaGazette