Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya satu daripada lima konvensyen antarabangsa yang akan menanti untuk ditandatangani Malaysia, kata Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan.

Katanya, kerajaan terlebih dahulu telah didesak oleh Ahli Parlimennya untuk meratifikasi beberapa konvensyen antarabangsa lain yang juga bakal menjejaskan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

“Tapi, tahukah anda? Bahawa ICERD hanya satu daripada 6 Konvensyen Hak Asasi PBB yang telah diberi komitmen oleh kerajaan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar untuk diratifikasi. Di sana masih ada 5 Konvensyen yang menanti detik untuk diratifikasikan oleh kerajaan.

“Pada 16 Oktober 2018 yang lalu, Ahli Parlimen Batu Kawan (DAP) iaitu Kasthuriraani telah mendesak Kementerian Luar supaya segera meratifikasi Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR). Artikel 18 dari ICCPR menjelaskan mengenai The Right Of Religious Freedom. Suatu yang menuntut hak bebas beragama dan menukar agama.

“Demikian juga CAT. Pihak Amnesty dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan hukuman sebat syariah ke atas pesalah lesbian di Terengganu adalah bercanggah dengan Hak Asasi Manusia Antarabangsa di bawah CAT. Sekali gus mendesak Malaysia segera ratifikasikan CAT dan meminda mana-mana peruntukan yang menghalang supaya dapat selarikan dengan ketetapan HAM antarabangsa.

“YB Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah pula pernah menegaskan pada 21 November 2018 di Parlimen, bahawa selain ICERD, kerajaan boleh terlebih dahulu meratifikasi Konvensyen terhadap Penyeksaan dan Kezaliman (CAT) dan Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED) di samping memberi komitmen untuk ratifikasikan semua (6) perjanjian tersebut,” jelas beliau menerusi kenyataan.

Justeru itu katanya, Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD pada 8 Disember ini perlu diteruskan walaupun wujud provokasi untuk menghalangnya, sebaliknya ia perlu dijadikan simbolik kepada kesepaduan suara rakyat menentang perkara-perkara yang akan menjejaskan agama.

“Sebaliknya teruskan semarak himpunan ini sehingga capai impak yang maksima. Ia adalah himpunan aman. Saya ulangi, ia adalah himpunan aman. Justeru itu, sila hadir jangan lari.

“Himpunan ini untuk nyatakan kesatuan ummah. Himpunan untuk mengangkat suara rakyat. Himpunan untuk memperjuangkan kepentingan agama, negara dan rakyat,” katanya.

Terdahulu Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD akan tetap diadakan dengan kehadiran Pas dan UMNO namun ia sebelum ini dinyatakan akan ditukar kepada ucapan terima kasih selepas Pakatan Harapan menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri mengumumkan tidak akan meratifikasinya.

Namun wujud kebimbangan keputusan itu bersifat sementera, justeru kerajaan digesa membawa keputusan tersebut kepada Dewan Rakyat dan disahkan menerusi tandatangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar dapat direkodkan di dalam hansard. – MalaysiaGazette