Graduan, Jennifer Priya Anantham bergambar bersama pingat pada Majlis Konvokesyen Manipal International University di Hotel Marriot, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 25 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA- Lahir dalam keluarga doktor tidak pernah membunuh impian Jennifer Priya Anantham untuk bergelar chef pastri terkemuka.

Lebih manis apabila impian itu mendapat restu seluruh ahli keluarga walaupun sedar permata hati kesayangan keluarga ini tidak akan memiliki gelaran doktor pada pangkal namanya.

Takdir tuhan bagaimanapun menentukan laluan Jennifer akhirnya bertukar arah kepada satu bidang yang jauh berbeza dari impiannya terdahulu iaitu Kejuruteraan Kimia.

Gadis manis berusia 23 tahun itu membuktikan bahawa kejayaan adalah ganjaran untuk setiap usaha yang dilakukan dengan penuh iltizam dan kesungguhan.

Hasilnya jelas beliau berjaya meraih dua anugerah pada istiadat konvokesyen Universiti Manipal Antarabangsa yang berlangsung semalam, masing-masing dikenali sebagai Pingat Emas Dr. Tonse Ramdas Madhav Pai dan Anugerah Kecemerlangan Akademik.

Ketika ditemui sejurus selepas istiadat konvokesyen di sini semalam, anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, komitmen padu dalam setiap perkara ialah rahsia utama untuk kekal cemerlang.

“Dari dahulu lagi, saya pastikan akan memberikan komitmen penuh dan komited dalam setiap apa yang dilakukan. Dalam diri saya, tiada istilah hangat-hangat tahi ayam atau melepas batuk di tangga.

“Setiap apa yang dikerjakan, perlu dengan kesungguhan demi menjamin hasil yang cemerlang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabang pengajian yang jauh tersasar dari minat sebenar, Jennifer memberitahu, impian bergelar seorang chef pastri adalah aktiviti sampingan yang boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Keluarga tidak pernah menghalang minat anak-anak namun selepas berfikir masak-masak, saya sendiri memutuskan untuk menyambung pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Kimia apatah lagi selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek Kimia dan Matematik Tambahan ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata jurutera sebatian dengan syarikat multinasional Top Glove itu.

Apa yang sangat menakjubkan, Jennifer tidak membataskan ilmu dimiliki hanya setakat ini kerana gadis itu kini sedang menyambung pengajian dalam peringkat sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Berbelas tahun berada di bangku sekolah dan bergelut pula dengan tugasan serta subjek mencabar ketika di universiti, Jennifer ternyata tidak pernah lelah atau bosan menuntut ilmu.

“Perjalanan menuntut ilmu bagi saya amat menarik dan mencabar ketahanan minda. Saya suka pada cabaran, lebih-lebih lagi cabaran yang memberikan hasil lumayan.

“Ilmu pengetahuan pada saya tidak akan pernah habis. Kita boleh jatuh miskin, kehilangan harta benda namun tidak ada sesiapa mampu ‘merompak’ pengetahuan yang kita miliki,” tegasnya.

Beliau menambah, keputusan cemerlang diperoleh sebaik selesai peperiksaan akhir membolehkannya berjaya menyambar pekerjaan sesuai kelulusan dimiliki.

“Saya bersyukur kerana berjaya menyambar pekerjaan sebaik tamat pengajian dan tidak perlu menganggur seperti sesetengah rakan lain.

“Ia membolehkan saya menyambung pengajian peringkat sarjana secara separuh masa di  UTM,” katanya.

Turut hadir pada majlis konvokesyen di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya itu adalah Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mridul Kumar, Pengerusi Pendidikan dan Perubatan Kumpulan Manipal, Datuk Dr Ranjan Pai dan Naib Canselor Universiti Manipal Antarabangsa, Profesor Dr Franco Gandolfi. –MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast