SUBANG JAYA – Anggota bomba yang menjadi mangsa serangan perusuh di tapak kuil Sri Mariamman Seafields, dekat sini kini berada dalam keadaan kritikal di Pusat Perubatan Subang Jaya.
Mangsa Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, telah berkhidmat selama tiga tahun bersama pasukan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun kenyataan awal beliau menganggap kecederaan yang dialami Muhammad Adib tidak terlampau berat tetapi lawatannya membicarakan yang sebaliknya.
“Apabila saya menziarahi beliau di hospital (SJMC) dan mendapatkan laporan doktor, mangsa berada dalam keadaan kritikal di dalam Unit Pemantauan Rapi (ICU) dan disokong bantuan pernafasan.
“Dia cedera teruk di bahagian dada dan perut berdasarkan kesan lebam yang teruk dan tulang rusuk patah dan menjejaskan paru-paru menyukarkan bernafas sehingga kini berdepan kesukaran bernafas,” katanya dengan suara sedih dalam sidang media khas di lobi pusat perubatan itu di sini.
Turut melawat mangsa ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tambahnya, pihak hospital beserta pakar perubatan mengambil tanggungjawab memantau keadaan dan merawat Muhammad Adib secara rapi dan difahamkan tekanan darah dan bacaannya berada pada tahap rendah tetapi tidak menunjukkan petanda turun naik dan dipantau sepanjang masa.
Beliau juga merayu rakyat supaya mengambil iktibar supaya tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri.
Zuraida dengan suara sedih membidas tindakan perusuh yang tidak bertamadun dan sanggup menyerang seorang anggota beruniform yang datang dengan niat baik bersama jentera bomba untuk menjalankan tugas.
“Saya tak dapat terima hakikat trak bomba dan van perubatan bomba diserang mereka. Rakaman video insiden itu sudah ada dan harap polis bertindak tegas ke atas mereka.
“Saya mahu ia jadi pengajaran kepada mereka yang lain di luar tidak mengambil undang undang di tangan mereka.
“Saya jumpa ibu bapa mereka yang datang dari sebuah kampung sawah padi, Kedah beserta adik beradik dan juga tunang ada di sisi Adib.
“Mari kita doakan terbaik untuk Adib…dia baru berusia 24 tahun dan sepatutnya bertunang akhir Disember ini,” keluh beliau.
Beliau juga akan melawat ke lokasi kejadian untuk memantau situasi terkini di sana sambil meminta rakyat tidak mengulangi perbuatan keji itu.
Zuraida mahu semua pihak berkepentingan bertahap tinggi duduk bersama jawtankuasa kuil serta pemaju dan berbincang mencari jalan penyelesaian.
“Inilah kali pertama dalam sejarah anggota bomba terjejas teruk dalam insiden, saya berharap dalang sebenar di sebalik rusuhan itu ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.
“Malah saya juga memberi jaminan secara peribadi menanggung segala kos perubatan mangsa di SJMC sehingga kembali pulih sedia kala,” katanya.- MalaysiaGazette