KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menetapkan pemotongan gaji berjadual bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka yang berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan berbanding RM1,000 berdasarkan Belanjawan 2019 sebelum ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata selain itu, kerajaan turut memutuskan pengecualian bayaran balik PTPTN bagi peminjam yang mendapat keputusan kelas pertama turut diperluas kepada golongan isi rumah golongan pertengahan (M40), berbanding isi rumah berpendapatan rendah (B40) sebelum ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Nov 2018 telah memutuskan supaya potongan gaji kepada peminjam PTPTN sebanyak dua peratus atau RM40 sebaik sahaja gaji mereka mencecah RM2,000 dan potongan ini meningkat secara progresif sehingga 15 peratus mengikut jumlah gaji bulanan peminjam.

“Mesyuarat Jemaah Menteri turut memutuskan untuk memberi pengecualian bayaran balik PTPTN bukan sahaja kepada golongan B40 tetapi juga dipanjangkan kepada golongan M40.

“Pengecualian ini diberikan bukan sahaja kepada pelajar golongan M40 dari Universiti Awam (UA) tetapi juga kepada Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS),” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Teo menjawab soalan tambahan yang diaju oleh Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengenai pengecualian bayaran balik PTPTN bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelaksanaan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan selain pengecualian bayaran bagi golongan B40 sekiranya ?graduan memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.

Teo berkata, sehingga Okt 2018, seramai 53,113 pelajar telah mendapat pengecualian pembayaran PTPTN kerana memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama dengan 37,355 daripadanya merupakan?pelajar UA manakala 15,758 daripada IPTS.

Katanya, jumlah kutipan bayaran balik PTPTN yang telah diterima bermula Jun sehingga September tahun ini adalah sebanyak RM817.75 juta.

Menjawab soalan asal Wong mengenai lanjutan pengecualian bayaran PTPTN bagi pelajar separuh masa yang memperoleh keputusan cemerlang, beliau menyatakan pihak PTPTN tidak berhasrat untuk memberikan pengecualian tersebut.

Teo turut menyatakan bahawa pelaksanaan pembayaran semula PTPTN bagi peminjam bergaji melebihi RM4,000 hanya akan dipertimbang semula apabila kedudukan kewangan negara berada dalam keadaan kukuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast