Beberapa buah Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tiba ditempat kejadian namun dihalang orang awam susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab melakukan serangan ke atas seorang anggota bomba dan penyelamat sehingga menyebabkan keadaannya kritikal adalah perbuatan keji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, anggota bomba telah ditarik keluar daripada kenderaannya dan dipukul oleh sekumpulan lelaki apabila mangsa cuba memadamkan api pada sebuah kereta yang diletakkan di luar kawasan kuil malam tadi.

“Serangan ke atas ahli bomba itu adalah keji kerana mereka hanya melakukan tugas mereka bagi memastikan keselamatan penganut di sekitar kuil itu,” katanya.

Anggota bomba yang dikenalpasti sebagai Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dalam keadaan kritikal dan bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

Sehubungan itu, Waytha menyeru komuniti India untuk bertenang dan tidak bertindak melulu dalam menangani isu ini.

“Saya meminta masyarakat India Malaysia bertenang dan bersikap rasional dalam menghadapi isu kuil Sri Maha Mariamman di Seafield kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan menghasut suatu pergolakan sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, kerajaan memandang serius kejadian ini dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang mengancam keamanan dan keselamatan awam.

Isu kuil tersebut adalah di antara pemaju tanah, di mana kuil itu terletak, dan pengurusan kuil dan ia tidak seharusnya dieksploitasi untuk menjadi konflik perkauman.

Serangan oleh sebuah kumpulan yang tidak dikenalpasti keatas One-City Mall malam tadi tidak wajar dan boleh dikatakan sebagai tindakan provokatif bertujuan untuk mengganggu keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat Malaysia
umumnya.

Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku ini dan saya menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan segera dalam membendung keganasan yang dilakukan oleh beberapa kumpulan yang berselindung disebalik niat untuk menjaga nama kuil itu.

Beliau juga menggesa jawatankuasa pengurusan kuil untuk mengawal dan memastikan keselamatan penganut kerana ia adalah tanggungjawab mereka untuk melindungi para penganut yang datang ke kuil
tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast