KUALA LUMPUR –Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hilang sabar dengan dengan Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Syukri ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika sesi soalan lisan, Nancy bangkit bertanyakan Gobind apakah pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentang liputan media massa berhubung program-program rasmi di Sarawak memandangkan rata-rata mereka bukan dalam kalangan PH.

“Saya hendak mendengar sendiri dasar yang diamalkan oleh kementerian. Kebanyakan kita bukan dari PH tetapi bebas. Banyak cerita yang boleh diketahui oleh media massa, adakah dasar kerajaan liputan di berikan di Sarawak ini?,” soalnya.

Tetapi Gobinbd bangkit memberitahu, pendirian beliau masih sama seperti sebelum ini, seandainya kerajaan negeri mempunyai program liputan media yang sewajarnya akan diberikan tanpa prejudis.

Bagaimanapun, Gobind kembali menyoal Nancy mengapa sebelum ini wakil rakyat kerajaan negeri Sarawak memberi keyakinan mereka ‘mesra PH’ namun tetap mengeluarkan arahan menghalang PH menghadiri majlis-majlis di Sarawak.

“Apa yang anda cakap tentang kebebasan itu anda perlu diamalkan terlebih dahulu Yang Berhormat. Anda cakap anda ‘kawan’ tetapi mengapa pula keluar perintah larangan kepada kami?

“Anda bertanya tentang dasar kerajaan untuk membantu Sarawak tetapi pada masa yang sama anda berlaku tidak adil kepada kami? Kalau ikutkan hati, saya boleh sahaja mengelak dan kata tidak perlu liputan.

“Anda perlu amalkan apa yang anda cakap ini terlebih dahulu.Mengapa keluarkan pekeliling yang melarang wakil rakyat PH daripada menghadiri majlis anda?

“Bagaimanapun, saya tegaskan anda akan tetap dapat liputan sekiranya majlis-majlis rasmi, tidak perlu khuatir,” kata Gobind.

Nancy kemudian bangkit dan menuduh Gobind tidak menjawab soalannya dengan tepat.

“Ini bukan sesi dialog. Saya cuma bertanya tentang kebebasan serta dasar kerajaan dari segi media bukan kebebasan dari segi program-program lain. Kita jangan cuba campur adukkan.

“Kita cuma mahu tahu jawapan, saya pasti Menteri adalah seorang yang sangat profesional,” ujar Nancy.

Kata Gobind, beliau tidak lari tajuk sebaliknya isu kebebasan media ada beberapa aspek dan ini juga salah satu daripadanya.

“Kalau sebut tentang kebebasan, mengapa pula kerajaan negeri keluarkan perintah seumpama ini? Mengehadkan Ahli Parlimen dan ADUN dalam kalangan PH daripada menghadiri program-program kerajaan negeri.

“Jadi saya mahu apakah pula pendirian kerajaan negeri tentang kebebasan media? Saya tetap dengan pendirian, sekiranya program rasmi, pasti ada liputan.

“Tetapi pada masa yang sama, saya hendak minta kepada kerajaan negeri Sarawak, amalkan apa yang anda cakap terlebih dahulu. Jangan minta untuk kebebasan tetapi anda tidak pula tidak tonjol sifat itu.

“Saya tahu anda profesional, minta berbincanglah dengan ketua menteri berhubung perintah larangan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast