Anggota bomba yang dirawat akibat insiden rusuhan, Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa untuk dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dari Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Subang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 27 NOVEMBER 2018

SUBANG JAYA – Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang kritikal akibat dipukul dalam kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, dekat Subang Jaya, dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, malam ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata keputusan itu diambil selepas perbincangan antara pakar perubatan IJN dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) di sini.

“Keputusan ini di ambil selepas Muhammad Adib menunjukkan sedikit perkembangan positif dan kelengkapan di SJMC tidak begitu sesuai bagi tujuan perawatannya. Di IJN terdapat sebuah mesin yang boleh memberi rawatan tambahan bagi meningkatkan keupayaan kemasukan oksigen untuk mengaktifkan paru-parunya.

“Jadi, kita buat keputusan untuk pindahkan Muhammad Adib sekitar pukul 10.30 malam tadi selepas mendapat persetujuan ibu bapanya,” katanya pada pemberita selepas melawat mangsa di SJMC sebelum dipindahkan ke IJN.

Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Zuraida berkata, keadaan Muhammad Adib dilaporkan semakin stabil berbanding tengah hari tadi selepas lebih setengah hari mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

“Tekanan darahnya juga semakin baik dan dia tidak sedarkan diri kerana diberikan sedatif,” katanya.

Ambulans yang membawa Mohamad Adib meninggalkan SJMC pada pukul 11.33 malam dengan diiringi pegawai perubatan SJMC dan IJN, ibu bapa dan ahli keluarganya serta beberapa pegawai bomba sebelum tiba di IJN sejurus sebelum 12 tengah malam.

— BERNAMA

http://https://www.youtube.com/watch?v=fohec2_kfVI&feature=youtu.be

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast