KUALA LUMPUR – “Saya tinggalkan kat situ, saya turun saja orang ingat saya pelacur.” Anak gadis yang tinggal di sebuah bilik kecil bersama sembilan adik beradik berkongsi lorong hidupnya.
Mahu dikenali sebagai Syakirah, dia meluahkan rasa bencinya terhadap apa yang disaksikan setiap hari. Dadah, judi, pelacuran aktiviti yang diketahui Syakirah namun dia meletakkan jarak. Syakirah tidak mahu menjadi sebahagian daripada apa yang dirumuskan sebagai pemusnah hidup.
Satu lagi kisah Alif yang baru berusia 10 tahun, tentunya membuka ruang untuk insan-insan bernasib baik berfikir lebih jauh. Betapa anak kecil ini mempunyai impian tersendiri biar pun hanya berbumbungkan Anjung Singgah.
Bagi anak-anak ini, istilah masa depan ada kalanya tenggelam dan tidak diketahui ke mana arah tuju. Mereka menyimpan sendu dalam diam, mengharungi pelbagai kepayahan sehingga ada masanya anak-anak ini berjalan tanpa menoleh ke belakang dan menuruti arus biar pun mereka tahu, arus itu tamat di satu pusaran yang sama.
Krew MalaysiaGazette menyelusuri kehidupan anak-anak ini. Ternyata ada kalangan kami yang tidak kuat menahan perasaan melihat keselambaan anak-anak ini bercerita. Mereka lebih dewasa dari usia sebenar. Anak-anak ini ada impian juga harapan tetapi tidak banyak tangan yang boleh mereka gapai.
Di sebalik air mata krew kami yang tumpah, anak-anak ini tabah, tegar sambil memberitahu itulah dunia mereka dan anda orang luar tidak pernah dan tidak akan memahaminya. Tiga hari bersama mereka cukup untuk membuat kami mengakui bahawa mereka adalah anak-anak yang amat tabah dan kuat.
Terbinanya Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih ternyata memberi sedikit cahaya kepada anak-anak ini. Bagi mereka sekolah itu adalah harapan, sekolah itu adalah bumbung masa depan, maka Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih adalah bumbung harapan mereka. – MalaysiaGazette