Datuk M. Sambanthan

KUALA LUMPUR – Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) yang selama ini seringkali dilihat ‘bertegang urat’ dengan MIC kini bertukar nada dengan memuji tindakan pantas ‘membeli masa’ keputusan pemindahan kuil Sri Maha Mariamman Seafields.

Presiden IPF, Datuk M. Sambathan berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan serta menghargai usaha MIC yang berjaya mendapatkan perintah injuksi sehingga 11 Januari tahun hadapan bagi penangguhkan sebarang keputusan mahkamah bagi One City Development Sdn Bhd (One City), bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.

Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara mengakui seandainya injuksi tersebut tidak di ambil oleh peguam MIC, berkemungkinan ketegangan berterusan atau menimbulkan rasa gusar tentang masa depan kuil berusia lebih 140 tahun itu.

Namun demikian, Sambathan turut melahirkan rasa kecewa kerana sehingga kini walaupun sudah memiliki kuasa Pusat namun kerajaan masih lagi tidak mampu menyelesaikan isu tersebut.

“Hakikatnya kuasa ada tetapi bermacam-macam alasan yang diberikan berhubung kuil itu, kerajaan negeri mempunyai kuasa juga tetapi bukan hari ini sebaliknya sejak dulu lagi ianya masih sama.

“Ketegangan yang berlaku ini juga kekecewaan masyarakat India kerana sentimen tidak dihormati, benar kata semua, ini bukan perselisihan kaum seperti yang di war-warkan oleh setengah pihak.

“Terima kasih kepada MIC dan Presiden, Tan Sri SA Vigneswaran kerana prihatin dengan isu ini dengan melakukan apa yang mampu walaupun kini sudah tidak ada kuasa lagi, hakikatnya IPF juga akan bersama-sama membantu apa yang perlu bersama-sama tidak kira pembangkang atau kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pagi tadi,  Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak dengan kos permohonan tiga penganut di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya untuk menangguhkan perintah pengambilalihan semula tanah kuil itu oleh pemiliknya, One City.

Hakim M Gunalan membuat keputusan itu di dalam kamar selepas mendengar permohonan ketiga-tiga pihak berkenaan serta defendan termasuk dua individu yang mendakwa pentadbir kuil itu, K Chellappa dan M Nagaraju.

Sejurus selepas itu, MIC berjaya mendapatkan berjaya mendapatkan perintah injuksi sehingga 11 Januari tahun hadapan bagi penangguhkan sebarang keputusan mahkamah.

One City  telah membeli tanah itu pada 2007 dan dikatakan telah membayar pampasan sebanyak RM1.5 juta bagi tujuan penempatan semula bagaimanapun terdapat persengketaan dalam kalangan penganut enggan berpindah.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan tapak asal kuil tersebut dikosongkan manakala kuil dipindahkan ke lokasi lain.

Difahamkan, kerajaan Selangor menyerahkan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil namun tidak dipersetujui oleh pengurusan kuil.

Terdapat dua pihak yang menuntut pemilikan kuil ini yang dibina untuk pekerja ladang pada 1981 iaitu K Chellappa dan M Nagaraju.

Yang merumitkan keadaan apabila kedua-dua mempunyai tuntutan berbeza, Chellappa bersetuju untuk penempatan semula dengan kos pampasan manakala Nagaraju yang pada awalnya bersetuju kemudian bertukar fikiran. –MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/29/isu-kuil-mic-pula-berjaya-dapat-injuksi-sehingga-11-januari/

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast