Amirudin
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hadir pada sidang media khas mengenai kaedah penyelesaian isu Kuil Sri Maha Mariamman di Dewan Annexe Negeri Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor telah menyediakan tapak baharu seluas kira-kira satu ekar kepada pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Saefield, USJ 25 dekat Subang Jaya untuk pembinaan rumah ibadat baharu.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya juga meluluskan kira-kira 0.6 ekar tanah untuk dijadikan tempat meletak kenderaan dan pampasan sebanyak RM1.5 juta berikutan mahkamah membenarkan pihak pemaju mengambil semula tanah tapak kuil berkenaan.

Katanya, memandangkan tapak kuil itu milik individu, semua pihak yang terlibat harus mencapai kata putus yang baik agar tidak berlaku kejadian rusuhan yang melibatkan kecederaan dan kerosakan harta benda.

“Oleh kerana sudah berlaku insiden berdarah, kerajaan negeri dengan kerjasama pemaju, pihak kuil dan peguam kedua-dua pihak terpaksa mengadakan perbincangan semula bagi mencari jalan penyelesaian.

“Saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak dalam kes ini, tetapi kerajaan negeri terpaksa campur tangan kerana ia telah mencetuskan isu perkauman, yang sengaja ditimbulkan pihak tertentu,” katanya pada sidang media selepas rehat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy dan Exco Kerajaan Selangor, Ganabatirau Veraman.

Dalam sidang akhbar itu juga Amirudin meminta semua pihak tidak mencetuskan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan kemarahan kaum, termasuk bersama kerajaan untuk menyatupadukan semula masyarakat yang bersengketa.

Beliau turut menjelaskan, insiden itu dicetuskan oleh sekumpulan gangster yang mahu mengambil alih kuil berkenaan dan berharap mereka terlibat diheret ke muka pengadilan.

“Ia berpunca dari kes penjenayahan, bukan isu perkauman,” katanya menjawab pertanyaan wartawan. – MalaysiaGazette