Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah berkenan menziarah anggota bomba yang dirawat akibat insiden rusuhan, Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menziarahi Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights pada Selasa.

Seri Paduka berangkat tiba di pekarangan Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 pagi dan disambut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Muhammad Hamdan Wahid.

Sultan Nazrin Shah berkenan meluangkan masa hampir setengah jam menziarahi Muhammad Adib.

Dalam kunjungan itu, Seri Paduka diberi taklimat oleh doktor yang bertugas mengenai tahap kesihatan terkini Muhammad Adib disamping menghulurkan sumbangan kepada keluarga anggota bomba terbabit.

Semalam, IJN dalam kenyataannya memaklumkan anggota bomba berusia 24 tahun itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda sedar dan bertindak balas kepada beberapa arahan lisan bagaimanapun masih di bawah pemantauan rapi penggunaan sedatif untuk membolehkan organnya pulih.

Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil berkenaan.

Muhammad Adib yang mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan lain pada awalnya dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebelum dipindahkan ke IJN lewat malam Selasa.

Insiden kekecohan di kuil itu yang berlaku kira-kira 2.30 pagi Isnin tercetus berikutan isu perpindahan tapak kuil itu ke lokasi baharu. Kejadian tertumpu di pekarangan kuil serta kawasan pusat membeli-belah One City pada hari berikutnya.

— BERNAMA