Lakaran artis jambatan bengkok

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri secara dasarnya menyokong dan berusaha untuk mewujudkan kembali cadangan projek jambatan bengkok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, Mazlan Bujang berkata, namun begitu, Kerajaan Negeri ketika ini sedang menjalankan kajian awal bagi menjayakan cadangan laluan ketiga untuk menghubungkan Pengerang dengan Pulau Ubin, Singapura.

“Projek jambatan bengkok ini masih lagi dalam peringkat perancangan awal dan beberapa faktor perlu diambil kira bagi memastikan projek ini dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri Johor serta mengurangkan implikasi kos yang besar kepada Kerajaan Negeri,” katanya menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Ayub memohon penjelasan berhubung pembinaan jambatan bengkok, reka bentuk, anggaran kos serta adakah jambatan itu mampu menyelesaikan isu kesesakan tidak berkesudahan di Tambak Johor.

Mazlan berkata, projek jambatan bengkok adalah ilham daripada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat.

Beliau berkata, mengikut perancangan asal, jambatan sepanjang 1.4 kilometer yang juga dikenali sebagai ‘jambatan indah’ sepatutnya dibina bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang sudah digunakan sejak 1923.

Mengenai cadangan laluan ketiga itu, menurutnya, ia adalah untuk menangani isu kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan laluan kedua di Tanjung Kupang dekat Gelang Patah, yang kerap berlaku ketika ini.

“Idea ini adalah untuk mewujudkan laluan alternatif untuk mengalihkan trafik ke kedua-dua belah bahagian negara dan membebaskan Tambak Johor serta Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua) untuk kenderaan ringan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti Johor Jimmy Puah Wee Tse pada persidangan sama berkata Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM2.6 juta bagi kos menampung skim pemberian air percuma 10 meter padu kepada golongan B40 di negeri ini pada September dan Oktober lepas.

Beliau berkata jumlah kos pada September ialah RM1.29 juta bagi pemberian kepada 161,215 penerima manakala RM1.31 juta pada Oktober bagi pemberian kepada 165,992 penerima.

Puah berkata, demikian menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap), Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nenas) dan Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang) yang bertanyakan mengenai sejauh mana pelaksanaan air percuma 10 meter padu kepada golongan B40, jumlah rakyat yang menerima subsidi air percuma serta kos ditanggung Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan pemberian air percuma 10 meter padu itu.

“Pemberian air percuma 10 meter padu dilaksanakan mulai bil keluaran September lepas kepada penerima yang layak. Proses mengenalpasti akaun yang layak menerima pemberian air percuma ini adalah merujuk kepada senarai data penerima Bantuan Sara Hidup 2018 Negeri Johor (BSH) yang dibekalkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan melalui maklumat itu, nombor kad pengenalan, nama dan alamat penerima BSH telah dipadankan dengan maklumat pemegang aktif akaun bekalan air,” katanya. – MalaysiaGazette