Borhan Dolah.

JOHOR BAHRU – Frasa ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’ yang digunakan dalam surat rasmi kerajaan menggantikan frasa lama ‘Saya Yang Menurut Perintah’ oleh pentadbiran terdahulu diharap dapat mengembalikan kegemilangan dan kepercayaan masyarakat terhadap penjawat awam di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Borhan Dolah berkata, llangkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan supaya setiap penjawat awam dapat menghayati bahawa setiap perintah, tugasan dan tanggungjawab merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Kerajaan amat menitikberatkan usaha mewujudkan perkhidmatan adil, telus, bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kita perlu kembalikan semula kepercayaan masyarakat agar perkhidmatan dalam pentadbiran kerajaan akan lebih mampan sepertimana ketika tahun 1982 dalam slogan ‘Bersih, Cekap Amanah’,” katanya pada majlis amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama warga kerja Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Skudai di sini hari ini.

Borhan berkata, penjawat awam merupakan elemen penting dalam pemerintahan negara.

“Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir Mohamad selalu menyatakan kakitangan perkhidmatan awam penting dan menjadi tulang belakang pentadbiran negara.

“Oleh itu, sifat amanah merupakan nilai asas yang perlu ada pada setiap penjawat awam dalam menjalankan tugas agar setiap kerja atau perkhidmatan yang dihasilkan bermutu tinggi. Saya berharap kita sama-sama berusaha untuk memperbetulkan dan bermula semula untuk memartabatkan penjawat awam,” katanya. – MalaysiaGazette