KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan melahirkan rasa sedikit terkilan dengan pendirian MCA yang disifatkan terburu-buru mahu membubarkan sebuah perikatan yang terbina sekian lama dengan semangat setiakawan.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, beliau tidak faham mengapa MCA mahu membubarkan komponen Barisan Nasional (BN).
Katanya, perkara itu belum dibincangkan lagi.
“Anda ada cadangan untuk idea baharu, konsep baharu, bukankah lebih logik berbincang dengan lebih terperinci sebelum membuat sebarang keputusan drastik terus?
“Saya beri contoh mudah, anda mempunyai cadangan untuk pindah ke rumah baharu tetapi tergesa-gesa meninggalkan rumah lama walaupun rumah baharu belum ‘siap’? Mana anda mahu tinggal sementara rumah itu siap?
“Ianya sama sahaja, anda punya idealogi dan konsep baharu tetapi tergesa-gesa mahu tinggalkan apa yang anda ada sekarang tanpa berfikir atau duduk berbincang.
“Tidak perlu bubar, fikir dulu cadangan serta idea itu. Jangan terus ada idea terus mahu buat keputusan. Mana hendak pergi? Ini adalah pandangan peribadi saya, mungkin keputusan muktamad akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi BN kelak,” katanya kepada pemberita sebentar tadi di lobi Parlimen.
Saravanan mengulas keputusan MCA meluluskan usul membubarkan BN dan membentuk perikatan baharu dalam Perhimpunan Agung Tahunan semalam.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, persetujuan dibuat sebulat suara kecuali seorang perwakilan tidak bersetuju tanpa menamakan individu tersebut.
“Perhimpunan Agung memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Pusat untuk memulakan proses pembubaran BN serta membentuk perikatan politik baharu,” dedah Ka Siong.
Sementara itu, Saravanan masih mempunyai harapan tinggi agar cadangan pembubaran ini dipertimbangkan kerana tidak ada sebarang keperluan untuk meninggalkan komponen BN. –MalaysiaGazette