Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini bukan Kerajaan Perpaduan sebenar kerana hanya dibarisi ahli Parlimen yang mesti menyokong Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, parti-parti politik yang ahli Parlimennya tidak menyokong Perdana Menteri tidak diterima dalam kerajaan hari ini.

Malah, katanya, kritikan terhadap Perdana Menteri juga boleh mengakibatkan tindakan atau hukuman tertentu diambil terhadap Ahli Parlimen.

“Maka, adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan sama ada kerajaan ini benar-benar merupakan Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan ini mungkin gabungan pihak yang bersedia menyokong (Perdana Menteri), tetapi bukan Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut membuat perbandingan sebenar Kerajaan Perpaduan dengan apa yang berlaku dalam Kerajaan United Kingdom (UK) semasa Perang Dunia Kedua.

Ketika itu, katanya, UK dipimpin oleh Perdana Menteri, Winston Churchill untuk sebahagian besar tempoh peperangan dari tahun 1940 hingga 1945.

Jelasnya, Churchill menggantikan Neville Chamberlain yang merupakan Perdana Menteri pada awal peperangan tetapi meletakkan jawatan pada tahun 1940.

Menurut beliau, kerajaan UK ketika itu adalah satu kerajaan gabungan yang merangkumi ahli-ahli dari pelbagai parti politik termasuk pihak pembangkang, dengan fokus utama adalah kepimpinan dan strategi semasa perang.

Tambahnya, kerajaan UK itu secara efektifnya merupakan Kerajaan Perpaduan apabila semua parti sama ada Parti Konservatif yang dipimpin oleh Churchill; Parti Buruh yang dipimpin oleh Clement Attlee dan Parti Liberal yang dipimpin oleh Archibald Sinclair duduk bersama dalam Kabinet.

Ujarnya, Attlee berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri, manakala Sinclair dilantik sebagai Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Udara.

“Oleh itu, semua keputusan Kabinet dibuat secara bersama oleh semua parti dalam kerajaan gabungan tersebut. Kesetiaan mereka adalah kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. melayu mudah lupa…
    syukur rakyat Malaysia sedar dan telah menghukum dalam pru lepas sehingga partinya kalah dan hilang wang pertaruhan.

Comments are closed.