Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mengalu-alukan sebarang langkah untuk memperbetulkan dan membaiki Tabung Haji (TH) sebagai satu institusi penting umat Islam di negara ini.

Namun bagi setiap kesalahan, penyelewengan atau salah laku yang mempunyai bukti kukuh dan saksi perlu dibawa ke muka pengadilan mengikut tatacara penyiasatan dan pendakwaan yang telus.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan, pihaknya tidak mahu ianya dihukum oleh orang ramai melalui persepsi dan olahan media massa serta kenyataan politik yang mengelirukan, malah menambah buruk keadaan.

Justeru, katanya, kaedah Islam dan pengadilannya, mana-mana pihak pun yang didakwa atau dituduh, tidak boleh dihukum bersalah sehingga jelas terbukti mereka bersalah melalui proses penghakiman yang adil dan telus.

“Tentu sahaja semua pihak ternanti-nanti untuk melihat fakta dan bukti penyelewengan yang berlaku dalam TH.

“Kami berharap pendedahan terhadap penyelewangan yang didakwa berlaku dalam TH kini, bukan hanya sekadar satu lagi siri balas dendam kerajaan PH terhadap kerajaan lama yang direka tanpa bukti yang kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jangan pula ianya dibuat hanya untuk mengalih perhatian rakyat terutama masyarakat Islam dan Melayu daripada Himpunan Tolak ICERD yang akan diadakan Sabtu ini.

Lebih malang ujarnya, jika ia dibuat dengan niat tidak baik dan mempunyai agenda tertentu untuk meruntuhkan satu institusi Islam serta menghilangkan keyakinan umat Islam terutama pendeposit terhadap TH.

“Salah tetap salah. Tiada kompromi pada yang salah. Namun tentukan kesalahan itu melalui proses keadilan yang betul dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang diperjuangkan selama ini.

“Demikian yang benar itu benar, maka jangan runtuhkan kebenaran itu dengan fitnah dan tohmahan. Akhirnya rosak nilai sebuah kebenaran,” katanya. – MalaysiaGazette