Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Agama dan bangsa adalah identiti diri yang menjadi punca perpaduan sebuah masyarakat seperti Malaysia, bukannya pertembungan dan perpecahan.

Justeru, bagi pandangan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, cadangan supaya dibuang agama dan bangsa pada kad pengenalan kononnya bagi memelihara perpaduan, mengandungi maksud jahat yang tersirat.

Katanya, cadangan itu juga secara halus dan perlahan sebagai cubaan pihak tertentu untuk menghakis keistimewaan Islam dan Melayu yang menjadi identiti negara.

“Cadangan ini adalah bunga-bunga idea Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.

“Ia juga petanda perjuangan meratifikasi ICERD yang akan menghapuskan Islam dan Melayu di negara ini sebenarnya sedang berjalan. Ia digerakkan dengan pelbagai cara dan helah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan seorang pengkritik sosiopolitik, Mariam Mokhtar yang mencadangkan supaya identiti bangsa dan agama dalam kad pengenalan rakyat Malaysia dibuang demi mencapai perpaduan dalam negara.

Aktivis itu dilaporkan turut menyenaraikan lima perkara lain yang perlu dilakukan untuk mencapai integrasi nasional.

“Jika anda mahu integrasi nasional, ini yang perlu dilakukan: buang ‘bangsa’ dan ‘agama’ dalam kad pengenalan; haramkan perkauman dan dasar afirmatif; kurangkan jurang kekayaan antara yang berada dan tidak berada.

“Juga, jangan politikkan bahasa; beri layanan sama rata antara Malaysia Barat dengan Malaysia Timur serta berikan kebebasan media dan kebebasan memberi pendapat,” kata Mariam seperti dipetik portal Free Malaysia Today pada Ahad.

Menurut Dr Mohd Khairuddin, indentiti agama dan bangsa tidak boleh dihapuskan, bahkan ia adalah identiti yang mesti dipertahankan.

Ujar beliau, kepelbagaian kaum adalah fitrah penciptaan alam oleh Allah, manakala agama adalah pilihan diri sendiri berpandu petunjuk wahyu dan akal.

“Kedua-duanya menjadi keunikan identiti seseorang. Keunikan identiti perlu disantuni dengan betul kerana ia dapat memperteguh perpaduan dalam kalangan warganegara.

“Menyantuni kelainan ini Allah memerintahkan supaya manusia saling berta’aruf (al-Hujuraat 49:13) iaitu berkenal-kenalan antara satu sama lain antaranya dengan beramah-mesra dan menghormati hak orang yang berbeza bangsa dan agama supaya dapat menunaikan tanggungjawab sewajarnya terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata, bukan kerana agama atau bangsa seseorang, perpaduan dalam kalangan rakyat juga menjadi bermasalah apatah lagi pernyataan agama dan bangsa pada kad pengenalan.

Bagaimanapun, katanya, perpaduan menjadi masalah apabila ada individu dan kelompok yang tidak mahu mengiktiraf sejarah pembentukan negara Malaysia.

“Perpaduan dalam kalangan kita juga bermasalah apabila ada pihak tidak mahu mengetahui dan sengaja tidak menghormati hak penganut agama dan bangsa lain lebih-lebih lagi yang merupakan populasi majoriti di negara ini.

“Jangan dijolok sarang tebuan wahai saudara,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast