Dr. Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Dr Maszlee Malik yang menerima kritikan selepas dilaporkan mahu memasukkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam subjek Sejarah, hari ini menafikan perkara itu.

Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan itu, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, Maszlee tidak sama sekali menyebut kes 1MDB akan dimasukkan dalam sukatan Sejarah.

“Semasa menjawab soalan tambahan YB Pontian, YB Dr Maszlee hanya menyebut isu 1MDB akan dimasukkan dalam Sejarah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, laporan media memetik seolah-olah Maszlee mengatakan 1MDB akan dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran Sejarah Malaysia adalah tidak tepat.

Jelasnya, sama ada ia akan dimasukkan dalam sukatan subjek Sejaran Malaysia terserah kepada jawatankuasa kajian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kata beliau lagi, dalam memperkayakan wacana intelektual, kementerian itu tiada halangan sekiranya isu 1MDB dijadikan kajian kes di institusi pengajian tinggi memandangkan ia mendapat perhatian banyak pihak di dalam dan luar negeri dari segi tadbir urus baik, akauntabiliti dan budaya integriti.

Lantaran itu, Shahrul Aman memohon media untuk membuat pembetulan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette