Mohamed Nazri Aziz
Mohamed Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz  berkata, beliau tidak berminat untuk menyertai himpunan aman Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada hari Sabtu ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, ini kerana tujuan himpunan itu diadakan untuk membantah ICERD dan kerajaan Pakatan Harapan sudah menolaknya.

“Saya tidak pasti apakah himpunan ini adalah anti ICERD kerana fokus utama adalah satu, tidak mahu kerajaan meratifikasikan ICERD. Ini bukan lagi isu.

“Jika tidak percaya dengan keputusan yang telah diambil oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah menyatakan tidak akan ratifikasi ICERD, siapa lagi yang harus dipercayai,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Nazri berkata, beliau sangat fokus tentang yang dimahukan daripada kerajaan iaitu menarik semula keputusan ratifikasi itu.

“Kabinet sudah membuat keputusan itu. Berita yang sangat baik. Saya sangat gembira. Saya tidak hadiri himpunan itu,” tambahnya.

Nazri yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO, keputusan itu dibuat atas kapasiti peribadi dan tidak ada kena mengena dengan parti.

Keputusan Nazri itu tidak senada dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyeru orang ramai menyertai himpunan aman tersebut.

Kata Najib, himpunan tersebut wajar diberikan sokongan oleh semua pihak bagi menunjukkan kesatuan dan kesungguhan rakyat mempertahankan Perlembagaan negara.

“Perhimpunan aman pada 8 Disember ini dianjurkan Sekretariat Kedaulatan Negara ini wajar diberi sokongan tak berbelah bahagi.

“Ini hak kita untuk berhimpun dalam menunjukkan kesatuan kita, kesungguhan kita, betapa kedaulatan Perlembagaan tak usahlah dicabar,” katanya dalam sosial Facebook beliau hari ini. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast