Petisyen membantah ICERD akan diteruskan sehingga kerajaan akur kehendak rakyat.
Petisyen membantah ICERD akan diteruskan sehingga kerajaan akur kehendak rakyat.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi memberi jaminan himpunan besar-besaran Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini diadakan secara aman.

Walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa gusar berhubung perhimpunan ini dan mahu ianya tidak diteruskan, namun pembangkang tetap berpendirian tegas mahu meneruskannya.

Kata Zahid, perhimpunan ini diadakan kerana mahu meraikan tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang tidak meneruskan pelaksanaan ratifikasi ICERD.

“Kita akan teruskan. Saya mewakili UMNO dan Pas akan pergi ke perhimpunan yang tidak ada kena mengena dengan isu-isu perkauman. Perlu pisahkan perkauman kerana kita hanya mahu adakan himpunan untuk melahirkan rasa syukur terhadap keputusan kerajaan.

“Kita mahu ucap syukur, penghargaan dan berterima kasih dengan keputusan Kabinet menolak ICERD untuk diratifikasikan. Tidak ada masalah perkauman di sini,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membenarkan himpunan bantah ratifikasi ICERD diadakan pada Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kebenaran tersebut dibuat hasil mesyuarat bersama agensi kerajaan dan PDRM.

Menurutnya, kebenaran itu diberikan atas keyakinan perhimpunan bakal diadakan secara aman.

Perhimpunan dibenarkan bermula jam 2 hingga 6 petang di Jalan Raja sahaja, berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.

Tambah Zahid, pihaknya akan mematuhi standard prosedur operasi (SOP) Akta Perhimpunan Aman 2012 memandangkan penganjur telah mendapat permit daripada DBKL.

“Sudah tentu kita akan mematuhi semua peraturan serta syarat-syarat yang telah dikenakan terhadap himpunan ini oleh pihak berkuasa.

“Kita akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis dan DBKL, tiada kompromi tentang perkara itu,” tegasnya. –MalaysiaGazette