KUALA LUMPUR – Hujan lebat di Terengganu semalam menyebabkan satu pusat pemindahan banjir dibuka untuk menempatkan sekurang-kurangnya lapan keluarga di Kampung Besop Lama, Dungun sehingga jam 9 pagi ini.
Menurut Sektetariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah Dungun, mereka adalah 18 dewasa, sembilan kanak-kanak dan empat bayi yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Kampung Besop Lama.
Katanya, banjir yang melanda di kampung itu adalah disebabkan hujan lebat yang menakung air sehingga membahayakan penduduk, bukan kerana paras air sungai naik.
“Kita menjangkakan keadaan akan pulih dalam tempoh tiga hari jika tidak berlaku hujan lebat sebagaimana semalam,” kata Ketua Sekretariat, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, melaporkan paras air di semua sungai utama di negeri itu menunjukkan trend turun naik disebabkan hujan sekejap-sekejap dan adakala lebat.
Menurutnya, dua sungai, iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu yang melepasi paras bahaya malam tadi juga turun kepada paras waspada pagi ini.
Manakala Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu kembali normal dan Sungai Tumpat di Kemasik juga turun kepada paras amaran berbanding ditahap bahaya malam tadi. – MalaysiaGazette