Razali Ismail

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kecewa sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang dijadualkan esok sempena memperingati Hari Hak Asasi Manusia Sedunia 2018 terpaksa ditangguhkan.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa menyatakan butiran terperinci telah memaklumkan kepada Suhakam dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bahawa terdapat risiko berkaitan dengan
keselamatan negara yang berkemungkinan timbul daripada peristiwa yang dijadualkan pada esok hari.

Sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berlangsung pada di Padang Timur, Petaling Jaya, pagi esok.

Ia serentak dengan Himpunan 812 bagi membantah meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diadakan di Dataran Merdeka, pukul 2 petang esok.

“Suhakam kecewa kerana kerajaan yang komited kepada Hak Asasi Manusia seakan-akan terpengaruh dengan taktik tekanan dan ekstremisma sehingga mengakibatkan acara yang telah dirancang sejak beberapa bulan yang lalu terpaksa ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah beliau, Suhakam memohon maaf kepada orang awam, para jemputan, para peserta dan sukarelawan yang
terlibat dalam acara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast