Tabung haji
Orang ramai diminta tidak menyerahkan sebarang deposit kepada mana-mana pihak selagi tidak mendapat surat tawaran.

PARIT BUNTAR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan mengumumkan dapatan siasatan dalaman berkaitan isu penyelewengan Lembaga Tabung Haji (TH) Isnin ini.

Beliau berkata pengumuman berkenaan yang antaranya berkaitan laporan kewangan TH 2017 yang didapati bercanggah seperti isu keuntungan, akan dibuat pada sidang media di Parlimen.

“Ini kita terpaksa dedahkan dan memberikan penjelasan dengan apa dapatan yang kami jumpa dalam Tabung Haji amat menyedihkan kerana ia melibatkan kepentingan Islam,” katanya dalam sidang media selepas program Back To School di Mydin Mall di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 200 murid di Parlimen Parit Buntar menerima bantuan beg sumbangan Mydin dan baucar pembelian pakaian seragam sekolah bernilai RM100 setiap seorang dari Pusat Khidmat Rakyat.

Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar berkata pendedahan itu bukan bertujuan membalas dendam seperti yang didakwa pihak tertentu namun pihaknya bertanggungjawab memberi kefahaman kepada masyarakat berhubung isu tersebut.

Pada 30 Nov lalu, TH membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua pegawai eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta barisan pengurusan kanan.

Laporan pertama berhubung Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 apabila dana berjumlah RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik manakala satu lagi laporan dibuat kerana menyembunyikan maklumat penting dan salah nyata membabitkan penjualan saham TH pada 2012. – MalaysiaGazette