Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berucap ketika menyertai perhimpunan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak melepaskan peluang melihat baju " Bantah ICERD" di hadapan pusat membeli belah Sogo, Jalan Tengku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran terhadap mereka yang berhasrat menggagalkan perhimpunan aman di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Bercakap pada taklimat keselamatan untuk sukarelawan belia UMNO, Asyraf menggesa sukarelawan keselamatan untuk terus menghalang sebarang elemen buruk.

“Tolong jangan benarkan unsur buruk untuk mensabotaj perhimpunan aman hari ini.

“Sekiranya terdapat plakad sensitif perkauman atau agama, cepat rampas daripada mereka tetapi saya meminta anda supaya bersabar semasa bertindak,” katanya.

Asyraf kemudiannya mengingatkan orang ramai tentang tujuan mereka berada di sini hari ini iaitu memberi isyarat kepada kerajaan bahawa mereka sepenuhnya menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Kami ada di sini untuk menunjukkan bahawa orang ramai tidak boleh tertipu oleh pihak tertentu yang disyaki membawa unsur-unsur luar ke negara ini,” katanya.

Terdahulu, sukarelawan Pemuda Pas di bawah Jabatan Amal Malaysia telah berkumpul di Masjid Jamek di sini bagi memberi penjelasan ringkas tentang keamanan sepanjang perhimpunan.

Mereka meminta semua pihak supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa sehingga perhimpunan berakhir pukul 6 petang nanti.

Dalam pada itu, Asyraf menerangkan bahawa perhimpunan berkenaan dikawal oleh kira-kira 10, 000 anggota sukarelawan daripada UMNO dan Pas. – MalaysiaGazette