Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad melambai ke arah petugas media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat BERSATU, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 08 DISEMBER 2018.

PETALING JAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mencampuri urusan mahkamah khususnya melibatkan kes berprofil tinggi di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak pernah mengganggu perbicaraan mana-mana kes terutamanya melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita perlu menerima bahawa institusi kehakiman itu tidak diganggu oleh kerajaan hari ini.

“(Bahkan) hakim Malaysia juga agak adil,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan ahli perniagaan kontroversi, Jho Taek Low atau Jho Low yang mendakwa dirinya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil dalam mahkamah di Malaysia.

Dr Mahathir juga berkata, Jho Low merasakan institusi kehakiman di Malaysia tidak adil apabila beliau sendiri mendapati dirinya bersalah menyeleweng dana 1MDB.

“Mesti (mungkin tidak ada perbicaraan yang adil di Malaysia) kerana dia tahu dia bersalah.

“Apabila dia bersalah, dia mendapati bahawa perbicaraan itu tidak adil.

“Kita semua mesti hadir di mahkamah dan pada asasnya kita tidak boleh terus menafikan pertuduhan atau mendapatkan hakim lain untuk diri sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette