CUEPACSCare
Palanisamy menunjukkan kad keahlian CUEPACSCare untuk penjawat awam yang menyertai mereka

KUALA LUMPUR – Medicare Assistance Sdn. Bhd. (Medicare) menyasarkan sejumlah 400,000 penjawat awam di seluruh negara menyertai polisi perlindungan takaful CUEPACSCare menjelang akhir 2019 berbanding 80,000 pemegang polisi pada tahun ini.

Pengarah Urusan Medicare, K. Palanisamy berkata, pihaknya positif sasaran itu mampu dicapai berikutan peningkatan kesedaran dalam kalangan penjawat awam bagi mendapatkan perlindungan kesihatan dan kemalangan tambahan untuk diri dan keluarga.

Jelas beliau, CUEPACSCare merupakan program kerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi memastikan setiap penjawat awam memiliki perlindungan takaful untuk waktu kecemasan bagi diri dan keluarga.

“Melalui kerjasama dengan CUEPACS, penjawat awam ditawarkan takaful penghospitalan dan pembedahan serendah RM32 melalui CUEPACSCare, manakala RM6 bagi takaful kemalangan diri CUEPACS PA yang memberi pampasan sehingga RM220,000.

“Sebagai Penjawat Awam mereka layak menerima rawatan komprehensif di hospital kerajaan tetapi ada kalanya terpaksa menunggu giliran agak lama. Di hospital swasta walaupun menyediakan rawatan pantas, kosnya agak tinggi dan perlu ditanggung sendiri.

“Menyedari hakikat ini, CUEPACS dengan kerjasama Medicare memperkenalkan program CUEPACSCare pada tahun 1999 khas untuk penjawat awam sebagai alternatif mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta pada kadar yang mampu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Palanisamy berkata, CUEPACSCare dan CUEPACS PA telah memberi perlindungan kepada lebih 500,000 penjawat awam dan ahli keluarga dengan jumlah tuntutan melebihi RM300 juta sejak pengenalannya pada 1999.

Beliau berkata, Medicare dan CUEPACS akan terus berusaha dengan gigih bagi menawarkan lebih banyak produk inovatif dan relevan kepada penjawat awam sekaligus memberikan pengalaman positif kepada mereka dan ahli keluarga.

“Usaha kami bagi mempromosi serta menggalakkan sektor takaful akan menjadi antara agenda utama yang melambangkan nilai dan amalan syarikat untuk mentakafulkan seluruh penjawat awam di Malaysia.

“Penjawat awam yang mahu menyertai myCUEPACSCare boleh hadir terus di ibu pejabat Medicare di Klang atau layari laman web www.mycuepacscare.my untuk pertanyaan atau memohon taklimat di pejabat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast