TM
Butiran maklumat milik Saidatul berhubung gangguan domain internet setelah pemeriksaan dilakukan juruteknik TM.

KUALA LUMPUR – Seorang pembangun sistem kecewa apabila domain Internet server Telekom Malaysia (TM) tidak dapat di akses sejak sebulan lalu tetapi bil bulanan RM500 perlu dibayar secara tetap setiap bulan.

Saidatul dari Taman Sri Pulai, Johor memberitahu, sekatan itu menyebabkan orang ramai gagal akses ke capaian sistem beliau.

Gangguan talian Internet berkenaan disangka berpunca daripada kerosakan teknikal atau modem tetapi sebenarnya akibat gangguan domain Internet setelah pemeriksaan lanjut dilakukan juruteknik TM.

“Gangguan berkenaan menyebabkan orang ramai gagal mengakses sistem yang disediakannya, sekali gus menjejaskan perniagaan bengkel kenderaan berasaskan atas talian.

“Tindakan berkenaan menimbulkan tanda tanya kerana saya hanya peniaga kecil dan sederhana yang menyediakan sistem memudahkan orang ramai mengembangkan perniagaan masing-masing serta sistem berkaitan khidmat masyarakat.

“Lebih teruk, walaupun tiada perkhidmatan bayaran tetap dikenakan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang juruteknik TM ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, pihaknya sedang menyiasat punca gangguan berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman menjelaskan, kegagalan penyedia khidmat internet melindungi pelanggan server mereka daripada mengalami sebarang gangguan talian akan merencatkan pembangunan eDigital negara.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Mohd Yusof Abdul Rahman

Katanya, ini kerana dalam pembangunan eDigital, pelbagai sistem dan maklumat atas talian boleh dibangunkan bagaimanapun ia tidak dimanfaat sekiranya tidak ada talian Internet.

Kerajaan sewajarnya menyediakan kemudahan paling asas dahulu iaitu menjamin talian Internet untuk pengguna tidak terjejas serta perlindungan sepenuhnya komputer server di negara ini.

“Pengguna akan marah kerana perkhidmatan kepada mereka terganggu, seperti tidak dapat menjalankan perniagaan kerana berasaskan internet.

“Lebih teruk, bayaran langganan tetap sama dikenakan walaupun perkhidmatan untuk orang ramai mencapai sistem berkenaan tergendala.

“Seperti analogi kenderaan, kereta boleh dibeli tetapi jalan raya tidak disediakan, pembaziran sahaja beli kereta tetapi tidak ada jalan raya untuk digunakan,” katanya.

Tambah beliau, langganan talian Internet dengan nombor Internet protokol misalnya dengan pakej RM500 sebulan bertujuan untuk orang ramai datang masuk ke komputer server bukannya sekadar akses untuk membaca maklumat. – MalaysiaGazette