Datuk Seri Anifah Aman
Datuk Seri Anifah Aman.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman bersedia membentuk parti baru berpusat di Sabah untuk memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sumber rapat bekas menteri luar itu memberitahu, Anifah tidak mungkin menyertai  mana-mana parti peringkat nasional kerana menurut pengalaman sebelum ini, beliau tidak mempunyai peluang untuk menegakkan hak-hak Sabah.

“Kepimpinan parti peringkat nasional lebih cenderung kepada kepentingan peribadi dalam kalangan ahli-ahli dan juga pemimpin dari Semenanjung berbanding dengan kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak,” kata sumber itu.

Mengulas lanjut, katanya, sebarang perbincangan mengenai MA63 sebelum ini tidak diendahkan malah disekat.

Keadaan itu, katanya, mendorong Anifah membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah parti tempatan yang berpusat di Sabah demi memenuhi aspirasi rakyat negeri itu dan Sarawak.

Anifah baru-baru ini telah meletakkan jawatan dalam UMNO untuk memperjuangkan agar tuntutan serta semangat asal MA63  dihormati dan dilaksanakan dengan tulus.

Beliau percaya perjanjian tersebut sebagai asas kepada Persekutuan Malaysia agar menjadi lebih progresif dan bersatu sebagaimana yang dibayangkan oleh para pengasas Malaysia pada tahun 1963.

“Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 tidak boleh lagi diabaikan karena ianya merupakan intipati untuk memajukan Sabah dan Sarawak dan juga untuk menikmati hak-hak sama rata dengan Persekutuan Tanah Melayu dari segi pembangunan,” katanya.

Anifah juga menyokong usaha Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Beliau percaya bahawa Jawatankuasa Perundingan ini memberi peluang untuk mengkaji dan menilai semula MA63 sama ada ianya telah berjaya dalam perlaksanaan atau sebaliknya.

Beliau juga mengesyorkan langkah-langkah untuk membantu dalam mencapai objektifnya.

Anifah menyedari betapa pentingnya Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan negara dan akan menyokong usaha dan dasarnya untuk mencapai matlamat demi perpaduan rakyat Malaysia.

“Ini adalah aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak untuk parti berasaskan tempatan dan bukannya parti kebangsaan untuk mewakili mereka di Parlimen kerana mereka tahu apa yang terbaik untuk rakyat mereka sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette