Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad hadir ke mahkamah berhubung kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenai satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Isa, 69, berdepan dengan satu pertuduhan pecah amanah melibatkan RM100 juta manakala sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur itu jam 8.35 pagi tadi meminta kesnya dibicarakan selepas kesemua 10 pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Hakim Azura menetapkan wang ikat jamin Isa sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin dan ia perlu dijelaskan selewat-lewatnya petang ini. Pasport perjalanan antarabangsa Isa juga diminta diserahkan kepada pihak mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Datuk Umar Saifuddin Jaafar mencadangkan Isa dikenakan ikat jamin sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Isa meminta mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu kepada RM500,000.

Isa didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

Hakim Azura juga menetapkan 25 Januari 2019 sebagai tarikh sebutan kes Isa. Sebelum ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu telah ditahan dan disiasat oleh SPRM selama lima hari pada Ogos lalu berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching dan London. P

embelian dua buah hotel tersebut disiasat SPRM berikutan harga melebihi harga asal sehingga menyebabkan FIC mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel di Kuching pada harga RM160 juta (lebih RM50 juta dari harga sebenar) manakala hotel di Kensington, London, pada harga £60 juta (kira-kira RM317 juta) pada 16 Disember 2014. – MalaysiaGazette