KUALA LUMPUR- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan inisiatif galakan eksport ke New Delhi, India pada 11-17 Disember 2018, dalam usaha mempromosi keupayaan pembinaan dan bahan bangunan yang dihasilkan negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MATRADE berkata usaha di bawah program Misi Peningkatan Eksport (EAM) membabitkan aktiviti seperti mesyuarat awal perniagaan melibatkan syarikat-syarikat Malaysia dengan mereka yang berpotensi sebagai pelanggan, taklimat oleh KPMG New Dehli mengenai aspek menjalankan perniagaan di India serta kunjungan menemui wakil persatuan dan peruncit di India.

“Padanan perniagaan-kepada-perniagaan sedemikian merupakan platform paling berkesan untuk syarikat-syarikat Malaysia mendapatkan jualan eksport,” kata Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pembinaan dan Perniagaan MATRADE, Datin Rusiah Mohamed.

Misi EAM disertai 13 syarikat itu juga bersempena penganjuran salah satu pameran perdagangan utama India – ACETECH New Delhi yang membolehkan syarikat-syarikat Malaysia memperkenalkan produk atau perkhidmatan mereka kepada pembeli dari serata dunia.

Rusiah turut menggesa syarikat-syarikat Malaysia memulakan usaha meninjau peluang di India berikutan langkah kerajaan negara itu membangunkan infrastruktur secara agresif pada masa ini.

“Malah, antara projek yang boleh ditinjau syarikat Malaysia adalah Bharatmala iaitu projek jalan raya dan lebuh raya oleh kerajaan India.

“Ini juga adalah masa terbaik bagi syarikat Malaysia menawarkan kepakaran dan produk berkualiti yang dimiliki mereka,” katanya.

Sektor pembinaan dan bahan bangunan adalah antara eksport utama Malaysia.

Pada 2017, jumlah eksport industri pembinaan bernilai RM4.07 bilion manakala eksport bahan-bahan bangunan bernilai RM29.77 bilion.

MATRADE mempunyai lebih 46 pejabat perdagangan global yang berperanan membantu syarikat tempatan bertemu dengan bakal pembeli, memahami pasaran, peraturan serta keperluan eksport yang berkaitan.

-BERNAMA