KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO memberi pesanan kepada pemimpin yang meninggalkan parti tersebut supaya mengingat kembali bagaimana parti orang Melayu itu mengangkat mereka.
“Buat yang meninggalkan parti, ingatlah UMNO yang kalian sisihkan inilah yang pernah menatang anda di waktu senang, mendokong anda hingga ke puncak. Moga kalian kecapi apa yang dihajati,” kata ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Jelasnya, UMNO tidak perlu menjual maruah dengan mengambil jalan pintas dan tergesa-gesa untuk kembali berkuasa melalui pintu belakang.
Beliau mendesak sebarang usaha untuk berunding sama ada dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihentikan segera.
“Mungkin ada baiknya untuk UMNO belajar daripada daya tahan Pas yang kekal utuh dengan prinsip perjuangan walaupun sudah lebih 60 tahun menjadi pembangkang.
“Sedangkan UMNO baru sahaja tujuh bulan (menjadi pembangkang), sudah berantakan dan begitu goyah berdepan tekanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi Asyraf Wajdi, selagi wujud usaha menggunakan jalan pintas untuk kembali berkuasa, selagi itulah UMNO dilihat tiada hala-tuju dan bakal berpecah dengan lebih parah.
“Lebih membimbangkan sekiranya berjaya sekalipun perundingan dengan mana-mana pihak, UMNO akan dihukum lebih dahsyat oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang kerana dilihat tidak berprinsip dan UMNO dinilai sebagai parti bermatlamatkan kuasa semata-mata,” katanya.
Beliau juga mendesak pucuk pimpinan UMNO memberi perhatian serius terhadap senario ahli-ahli yang keluar daripada parti itu seperti yang berlaku di Sabah, atas alasan hilang kepercayaan kepada kepemimpinan dan kabur terhadap hala tuju parti.
“Sudah tiba masanya UMNO fokus terhadap usaha pengislahan dan pemerkasaan parti untuk menjadi pembangkang berwibawa demi rakyat dan sebagai agen semak dan imbang yang berkesan terhadap kerajaan.
“Ini bermakna UMNO harus bermula dengan proses muhasabah dengan menginsafi segala kesilapan dan salah laku kita terdahulu sekali gus memohon maaf kepada rakyat atas segala keterlanjuran,” katanya. – MalaysiaGazette