Foto Instagram Neelofa.

KUALA LUMPUR – Pengacara dan pelakon popular Neelofa mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya selebriti berhijab menandatanganii kontrak bersama agensi model dan bakat antarabangsa, Established Models yang berpangkalan di London.

Pengacara program MeleTOP itu mengucapkan terima kasih di atas peluang menakjubkan dan tidak sabar untuk menerokanya pada masa akan datang.

“Saya sangat berbangga dan berasakan kegembiraan berganda untuk mengumumkan, kini saya menjadi sebahagian daripada pasukan @estmodels di London.

“Terima kasih untuk peluang keemasan ini. Saya tidak sabar untuk meneroka kesempatan diberikan dan terima kasih semua di atas layangan ucapan manis serta doa. Tahun 2019, mari kita lakukannya,” katanya menerusi Instagram miliknya.

Neelofa yang kini berada di London turut memuatkan gambarnya bersama pengurusan syarikat berkenaan di laman sosial peribadinya, semalam.

Pada masa sama, Instagram rasmi Established Models, @estmodels turut membuat pengumuman serupa yang disertakan foto usahawan muda itu berbusana dan mengenakan turban rona gelap.

“Meraikan kedatangan ratu media sosial dalam keluarga Established! Bukan sekadar menyerlah di media sosial, @neelofa adalah ahli perniagaan berjaya, aktres dan hos televisyen yang muncul dalam filem blockbuster, rancangan TV serta menerbitkan program sendiri.

“Adakah perkara lain yang tidak mampu dilakukan wanita cantik Malaysia ini,” tulis wakil agensi terbabit di laman sosial milik mereka, beberapa hari lalu.

Difahamkan, menerusi perjanjian kontrak terbabit, Neelofa dan pihak Established Models berbincang dalam merencanakan kerjayanya di sana untuk sepanjang tahun depan.

Penerima anugerah Bintang Paling popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu turut dibawa pihak agensi berkenaan berjumpa dengan pengurusan syarikat gergasi seperti Bentley dan Debenhams.

Terdahulu, Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor, 29, pernah mendedahkan, 2019 bakal menjadi tahun terbaik dan paling sibuk untuk dirinya.

Malah, sebelum ini dia mengakui mengintai peluang di arena antarabangsa untuk perkembangan kerjaya dan perniagaan, termasuk di Perancis. – MalaysiaGazette