KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang gagal melayakkan diri ke suku akhir dalam acara pecut individu Piala Dunia UCI yang berlangsung di Velodrome Lee Valley London pagi tadi.

Pelumba yang dikenali dengan jolokan Pocketrocketman itu dalam kenyataan di laman media sosial Fecebooknya berkata, dia berjaya menempatkan diri di tempat ke-21 daripada 35 peserta untuk mara ke pusingan kedua.

Dalam pusingan pertama, beliau mencatatkan masa 10.045 saat sambil menyatakan kekecewaan dengan catatan tersebut.

“Agak kurang puas hati dengan catatan tersebut tetapi mungkin atas faktor kepenatan dari perlumbaan acara keirin semalam dan tidak dapat tidur yang menjejaskan sedikit rentak kayuhan hari ini.

“Walaubagaimanapun, saya gembira kerana catatan ini cukup untuk melayakkan diri ke pusingan kedua,’ katanya dalam Facebook beliau.

Pada pusingan kedua, dia berentap dengan pelumba Trinidad & Tobago, Phillip Njisane yang merupakan pelumba ke-12 terpantas dunia dalam acara tersebut.

Pada perlumbaan yang sengit itu, jaguh negara kelahiran Terengganu itu mengalahkan lawannya dengan selesa bagi melangkah ke pusingan ketiga.

Bagaimanapun pada pusingan itu, Azizulhasni terpaksa bertarung dengan pelumba kelima terpantas dari Great Britain, Jack Carlin.

“Perlumbaan kami berdua amat sengit dan belau menidakkan kemenangan saya di garisan penamat hanya dengan beberapa sentimeter iaitu 0.013 saat.

“Walaupun tidak berjaya ke pusingan suku akhir, ini adalah pencapaian terbaik untuk acara Individual Sprint dari empat siri piala dunia yang telah disertai sebelum ini.

“Paling penting adalah dapat menambah koleksi mata untuk misi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2022 dalam acara Individual Sprint ini setelah selesa dalam acara Keirin.

“Dengan berkat doa dan sokongan anda semua (rakyat Malaysia) saya akan dapat mempertingkatkan prestasi dari semasa ke semasa,” katanya.- MalaysiaGazette