Waytha
Petisyen lucut Waytha capai 212, 000 tandatangan dan dijangka terus meningkat selepas ini.

KUALA LUMPUR – Petisyen mendesak perlucutan jawatan P. Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri mencecah 212,186 tandatangan pada pukul 3.35 petang ini.

Petisyen tersebut mensasarkan 300,000 tandatangan.

Petisyen yang digerakkan oleh Aiman Haziq mewakili Gerakan Pengundi Sedar (GPS) itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Aiman dalam petisyen itu menyatakan bahawa selaku rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang menuntut Waytha dipecat daripada menyandang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial serta Senator.

“Sebabnya dia memburukkan nama dan imej Malaysia di platform antarabangsa dengan menyebarkan fitnah bahawa kononnya komuniti Malaysia beragama Hindu didiskriminasi dalam beberapa bentuk antaranya perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan pekerjaan di sektor awam, rumah ibadat telah dirobohkan sesuka hati oleh pihak berkuasa,” katanya.

Malah turut dinyatakan sikap Waytha yang berkeras mahu meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskiriminasi Kaum (ICERD) atas kapasitinya sebagai Menteri walaupun ditentang dan dibantah kuat kaum Bumiputera.

“Justeru Waytha juga gagal mengawal ketegangan antara kaum yang semakin memuncak sejak akhir akhir ini walaupun telah diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Malah dia juga gagal menyelesaikan isu tanah kuil di Seafield dengan menyeluruh atas kapasitinya sebagai Menteri Perpaduan Negara dan sebaliknya menyalahkan pihak polis kononnya polis lambat bertindak mengawal rusuhan semasa kejadian itu,” katanya. – MalaysiaGazette