Sebahagian pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Muhammad Adib Mohd Kassim sebelum diterbangkan menggunakan Helikopter MI-17 ke kediaman keluarganya di Kampung Tebengau, Jalan Kuala Kedah bagi urusan pengebumian di Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor., Selangor. foto IQBAL BASRI 18 DISEMBER 2018.

KITA akhirnya terpaksa menerima hakikat yang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim pergi buat selama-lamanya setelah 20 hari mengharung penderitaan yang cukup parah dan menyakitkan.

Beliau mengalami kecederaan teruk di bahagian dada, tulang rusuk dan jangkitan paru-paru akibat dipukul dengan tanpa belas kasihan oleh sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Walaupun sepasukan pakar Institut Jantung Negara (IJN) merangkumi enam doktor pakar meliputi pelbagai bidang, tiga kakitangan paramedik dan lapan jururawat rawatan rapi bertungkus-lumus untuk memberikan rawatan terbaik bagi anak muda ini, namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Keadaan kesihatannya semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak 24 jam lepas hingga membawa kepada kematiannya tepat jam 9.41 malam tadi.

Sesungguhnya apa yang terjadi ke atas Muhammad Adib adalah satu situasi yang patut kita tahu bahawa ia PASTI berlaku sekiranya kita terlalu lemah dalam menangani masalah antara kaum yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Semua orang sensitif kalau melibatkan bangsa, keturunan dan agama. Namun mengapa selama ini kita mampu mengawal dan menanganinya tetapi kenapa kita gagal kali ini?

Jawapannya mudah.

Kita sekarang ini mempunyai pemimpin politik yang biadap dan kurang ajar.

Kita mempunyai pemimpin politik yang cuba menjadi jaguh dalam masyarakatnya tetapi tidak dalam masyarakat secara keseluruhannya.

Kita kini mempunyai pemimpin politik yang bencikan akta pencegahan seperti SOSMA, POCA dan POTA.

Kita sekarang mempunyai pemimpin politik yang mahu memansuhkan hukuman mati.

Kita mempunyai pemimpin politik yang begitu taksub untuk membela nasib pelaku dan bukan nasib mangsa!

Dalam erti kata lain, kita kini mempunyai pemimpin yang celaka yang sanggup memainkan emosi pengikutnya daripada memimpin mereka ke arah masyarakat Malaysia yang bersatu padu seperti sebelumnya.

Bila dirangkumkan semua itu, inilah ‘hasilnya’ – kematian seorang manusia yang tidak berdosa.

Percayalah. Sekiranya kita masih lagi ‘bertoleransi’ dengan pemimpin seperti ini, masih menutup sebelah mata tentang kelakuan dan kebiadapan sebegini, jangan terkejut akan ada lagi insan yang akan menerima nasib seperti Muhammad Adib.

Ini bukan amaran, jauh lagi ugutan tetapi inilah realiti yang perlu kita hadapi dan tangani dengan bijak jika kita tidak mahu perkara yang menimpa Muhammad Adib berulang serta terus mencemarkan nama baik Malaysia yang selama ini terkenal dengan adab dan budi pekerti rakyatnya.

Tepuk dada, tanya selera! – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast