Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Bekas pemain berbisa Kedah, Liridon Krasniqi dan penyerang sensasi Kuala Lumpur, Guilherme De Paula antara dua nama yang hampir pasti menjadi pemain naturalisasi beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Perkara tersebut  disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi badan induk bola sepak negara itu.

Mohd Yusoff berkata meskipun dua pemain berkenaan belum memenuhi sepenuhnya syarat menjadi pemain naturalisasi, usaha sedang dijalankan selain kedua-dua pemain tersebut turut menunjukkan reaksi positif.

“Ada beberapa pemain dalam pemerhatian kita yang pertamanya Lee Tuck (Terengganu FC) tetapi beliau adalah pemain berdarah kacukan. Selain daripada itu kita lihat pemain seperti Liridon dan De Paula. Mereka ini pemain yang belum sampai (memenuhi syarat) tetapi sudah hampir (capai syarat).

“Kami sudah berhubung dan nampaknya semua menunjukkan minat tetapi belum dapat bertemu lagi. Saya sebagai pengerusi jawatankuasa ini akan usahakan secepat mungkin untuk bertemu kesemua pemain  ini untuk kita selami hati mereka dan menilai tahap keikhlasan bermain bersama Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyebut seseorang pemain bola sepak boleh mewakili negara yang berbeza sebelum berumur 21 tahun atau sekiranya melepasi had umur tersebut dibenarkan untuk mewakili negara lain dengan syarat belum mewakili negara asal.

Bagaimanapun, Liridon dan De Paula yang telah beraksi selama empat musim dalam Liga Malaysia perlu bermain semusim lagi sebelum layak menjadi pemain naturalisasi negara.

Kontrak Liridon bersama Kedah tidak disambung untuk musim depan menjadikan pemain kelahiran Yugoslavia berusia 26 tahun itu bebas bermain untuk mana-mana pasukan Liga Malaysia yang berminat mendapatkan khidmatnya sementara De Paula pula kekal bersama Kuala Lumpur.

Sementara itu, menurut Mohd Yusoff, pendekatan membawa masuk pemain naturalisasi tersebut  adalah antara pelan jangka pendek FAM dalam usaha memantapkan mutu serta kualiti skuad kebangsaan.

“Kita ada tiga pelan iaitu pelan jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang. Jadi buat masa ini kita nak tekankan untuk pelan jangka pendek…jadi dua pemain naturalisasi yang berada dalam radar itu diperlukan dalam pelan itu,” katanya.

Menurut Mohd Yusoff kehadiran pemain naturalisasi dilihat perlu oleh FAM memandangkan negara ini ketandusan penyerang tempatan yang berprestasi tinggi.

Pada masa sama, beliau menekankan bahawa pendekatan itu bukan untuk menutup peluang pemain tempatan tetapi bertujuan menimbulkan persaingan dan memberi rangsangan kepada pemain kebangsaan yang akhirnya membentuk sebuah pasukan mantap.

“Kita nak pasukan negara nampak mantap di setiap posisi, bukannya keseluruhan nak pemain naturalisasi tetapi di sesetengah posisi kita perlukan mereka. Kadang-kadang ia juga akan bangkitkan semangat pemain tempatan untuk bersaing.

“Kita perlukan penyerang, pemain tengah dan pertahanan yang bagus. Kalau dapat pemain sayap ia juga satu bonus dan hasilnya kita dapat melihat satu pasukan lebih berbeza. Mereka (pemain naturalisasi) ini akan menjadi ramuan untuk membentuk satu pasukan yang hebat,” katanya.

Sebagai rekod, pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh yang beraksi dengan  pasukan Pahang adalah pemain naturalisasi pertama negara selepas disenaraikan ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe ke dalam pasukan negara yang muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018 baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast