KUALA LUMPUR – Datuk Muhamad Umar Swift dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Bursa Malaysia Berhad berkuatkuasa 11 Februari tahun depan.
Beliau akan menggantikan Datuk Seri Tajuddin Atan yang telah menerajui organisasi itu sejak tahun 2011.
Sebelum ini, Umar merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan MAA Group Berhad.
Dalam satu kenyataan, Bursa Malaysia berkata, Suruhanjaya Sekuriti telah bersetuju dengan pelantikan itu selaras dengan Seksyen 10 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
“Saya yakin Umar akan terus memberi kepimpinan yang hebat kepada Bursa Malaysia dan membina inisiatif transformasi yang diterajui oleh Datuk Seri Tajuddin, yang telah memainkan peranan penting dalam menjadikan bursa sebagai rakan yang dipercayai dan tempat untuk penciptaan nilai dan kekayaan jangka panjang.
“Pengalaman beliau akan memberikan perspektif yang lebih segar kepada Bursa Malaysia dan menerajui bursa ke fasa seterusnya supaya menjadi pasaran ASEAN terkemuka, bertanggung jawab dan berhubung ke seluruh dunia,” kata Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham A Aziz.
Tambahnya, Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan Bursa Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan Umar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu organisasi itu.
Sementara itu dalam notis berasingan, MAA mengesahkan peletakan jawatan Umar susulan pelantikan di Bursa Malaysia. – MalaysiaGazette