Dr. Lee Boon Chye. foto FAREEZ FADZIL, 18 DISEMBER 2018
Dr. Lee Boon Chye

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan memaklumkan kekurangan bekalan ubat di hospital kerajaan di seluruh negara berikutan kegagalan pembekal membekalkan ubat dan masalah berkaitan e-perolehan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, bagaimanapun kementerian sentiasa memberi perhatian serius termasuk mengarahkan pembekal patuh kepada ketetapan walaupun terpaksa mendapatkan bekalan daripada syarikat lain bagi memastikan bekalan itu tidak terputus.

“Masalah kedua adalah berkaitan e-perolehan, yang mana peruntukan bekalan ubat-ubatan yang kadangkala terputus. Jadi hospital berkenaan terpaksa mengurangkan bekalan ubat kepada pesakit dari satu bulan disingkatkan kepada seminggu atau dua minggu sahaja,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Dr Lee menjawab soalan Senator Dr Zaiedi Suhaili mengenai punca kekurangan bekalan ubat-ubatan di hospital kerajaan serta langkah untuk mengatasinya.

Sementara itu, Dr Lee sekali lagi menegaskan kementerian tidak bercadang menghapuskan caj bayaran RM1 yang dikenakan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

“Kita akan pastikan kebajikan golongan B40 terus dibela dan mendapat rawatan yang berkualiti, namun kerajaan juga ada kekangan daripada segi bajet. Dianggarkan perkhidmatan yang dibekalkan oleh kementerian menawarkan sekurang-kurangnya 95 peratus subsidi daripada kerajaan,” katanya. – Bernama