Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (empat kanan) bersalaman dengan Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, turut hadir Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 Disember 2018

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan sudah mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen UMNO untuk membincangkan kedudukan parti selepas ramai antara mereka mengambil keputusan lompat parti.

Katanya, dalam perjumpaan itu beliau dimaklumkan oleh ahli parlimen berkenaan bahawa mereka selesa dengan kepimpinan sekarang, iaitu selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan untuk berehat.

“Saya jumpa dengan semua MP-MP (Ahli Parlimen)… mereka puas hati dengan keadaan sekarang… oleh itu, tugas saya dan rakan pimpinan Majlis Tertinggi (MT) sekarang ialah memastikan hasrat mereka yang hendak letak jawatan, tidak jadi.

“(Jaminan) ini yang kita buat, pastikan supaya mereka yakin dengan kepimpinan sekarang dan saya yakin dengan perkembangan terkini bahawa tekanan dan ura-ura (akan letak jawatan) berkurangan, tidak ada lagi yang akan letak jawatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas MT di PWTC  hari ini.

Mengenai kelantangan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin yang menegur kepimpinan parti, Mohamad meraikan perbezaan pandangan.

“Kita tidak berbincang pasal KJ (Khairy). Kita hanya bincang mengenai strategi bagaimana UMNO hendak menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menjadi pembangkang yang efektif,” ujarnya.

Mengenai Ahmad Zahid, beliau secara ringkas menyatakan Presiden UMNO itu seorang yang berjiwa besar dan agak susah untuk parti mempunyai seorang pemimpin seperti itu. – MalaysiaGazette