KUALA LUMPUR – Ada ura-ura mengatakan UMNO Langkawi bakal terkubur semalam, berikutan lebih 100 ahlinya termasuk kepemimpinan kanan mengumumkan keluar parti.
Namun, sehingga tengah hari ini, belum ada pengumuman atau pengesahan dari mana-mana pihak, baik UMNO Bahagian Langkawi mahupun UMNO Pusat berhubung pembubaran itu.
Malah, semuanya berjalan lancar dengan ahli dan kepimpinan masing-masing menjalankan tugas parti dengan teratur, tanpa sebarang kesulitan berikutan ‘ketiadaan’ pemimpin kanan UMNO Bahagian itu.
Sehingga berita ini ditulis, hanya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan tujuh ketua cawangan sahaja yang mengumumkan keluar UMNO.
Tidak ada pun ‘ekor’ sama ada dari pemimpin kanan Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita mahupun Puteri UMNO negeri itu mengikut jejaknya.
Justeru, UMNO Langkawi masih utuh dan teguh sehingga kini, tanpa sebarang kegawatan berlaku dalam kepimpinan parti bahagian berkenaan.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyatakan UMNO Langkawi tidak akan dibubarkan, malah akan terus utuh biarpun didakwa berdepan krisis penghijrahan pemimpin yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau dilaporkan berkata, walaupun agak kecewa dengan tindakan bekas anggota Exco Kerajaan Negeri itu, keluar UMNO, ia bukan menjadi kayu ukur pembubaran bahagian itu.
“Parti tidak boleh menghalang keputusan bekas calon Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu keluar parti. Itu hak dia. Sesuailah dengan amalan demokrasi,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa pula berkata, desas-desus kemungkinan UMNO Langkawi akan menjadi bahagian pertama dibubarkan di negara ini sebagai lucu dan mengarut.
“Karut…no (tidak). Langkawi tu geng yang kalah bertanding Ketua Bahagian. Langkawi ada 17,000 ahli,” katanya ringkas melalui kiriman WhatsApp kepada wartawan NSTP di Kuala Lumpur, semalam. – MalaysiaGazette