Liew Chin Tong
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berucap pada Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Senator Liew Chin Tong akhirnya membuka mulut mengenai isu yang mengaitkan beliau dengan perisikan Singapura.

Isu berkenaan diuar-uarkan sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan .

Ching Tong berkata, beliau hanya merupakan seorang felo dalam Institut Kajian Asia Tenggara (Institut of South East Asia Studies (ISEAS) di Singapura yang merupakan sebuah badan pemikir.

“Saya seorang felo di ISEAS Singapura pada tahun 2006 yang mana saya membuat kertas kajian mengenai parti Islam Semalaysia (Pas).

“Ia adalah kajian politik Islam di Malaysia dan saya hasilkan kertas kajian politik dalaman Pas.

“Penulisan itu juga telah diterbitkan dalam bentuk buku dan pernah terbitkan jurnal artikel dan kesemua ini ada rekod, ia sudah lama,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau menjawab soalan yang mengaitkan dirinya dengan perisikan Singapura.

Terdahulu Chin Tong hadir pada Perbarisan Tahunan Putera yang menamatkan Latihan Ketenteraan selama dua tahun bagi tahun 2018 di Maktab Tentera Diraja Kem Pedana Sungai Besi.

Seramai 251 pelajar yang menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia dan Latihan Ketenteraan di maktab berkenaan menyertai Perparisan Tahunan Putera di Padang Kawat maktab tersebut.

Pengambilan pelajar bagi sesi Januari 2019 menyaksikan sebanyak 5,000 permohonan diterima daripada pelbagai kaum tetapi hanya 220 pelajar akan diterima masuk.

Kata Chin Tong, rakyat boleh mengakses ke laman webnya dan membaca sendiri kajian yang dilakukannya itu.

“Saya memang telah mengkaji politik nasionalisme Melayu dan Islam sekian lama.

“Sesiapa yang mengikuti akademia penulisan saya sejak awal lagi memang tahu sepenuhnya apa yang saya buat dan kajian saya sebenarnya,” ujarnya bagi menjawab dakwaan sesetengaha pihak yang mempertikaikan penglibatan Chin Tong dengan ISEAS dan mendakwa pemimpin DAP itu mempunyai kaitan dengan perisikan Singapura.

ISEAS difahamkan bertanggungjawab mengkaji semua bidang di negara negara asia tenggara termasuk Malaysia dalam bidang ekonomi, pendidikan, keselamatan, perisikan dan sebagainya. – MalaysiaGazette