Liew Chin Tong
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong bersama Komandan Maktab Tentera Diraja (MTD), Brig Jeneral Abdul Halim Abu Hassan (tiga kiri) beramah mesra bersama putera-putera yang menerima anugerah sempena Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Konsep pengajian di Maktab Tentera Diraja (MTD) yang menerapkan pendidikan serta pembangunan karakter perlu dicontohi sekolah-sekolah di negara ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong berkata, ia penting untuk negara melahirkan pemimpin yang berdisiplin dan berkaliber di masa akan datang.

“Kita tidak boleh mengharapkan pemuda kita mahir dan dilengkapi kelulusan akademik sahaja semata-mata.

“Malahan pembangunan karakter menerusi ilmu latihan ketenteraan juga membantu putera di maktab berkenaan menimba ilmu pengetahuan selain kecemerlangan akadamik untuk terus berdisiplin dan bermoral menghadapi dunia penuh mencabar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Perbarisan Tahunan Putera yang menamatkan latihan ketenteraan selama dua tahun bagi tahun 2018 di MTD Kem Pedana Sungai Besi pagi tadi.

Seramai 251 pelajar menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia dan Latihan Ketenteraan di maktab berkenaan menyertai Perparisan Tahunan Putera di Padnag Kawat maktab tersebut yang berlangsung sehingga 11.30 pagi tadi.

Beliau menyifatkan maktab berkenaan sebagai institusi pendidikan yang istimewa kerana pengajian akademik digabungkan dengan ilmu ketenteraan.

Menurutnya, gabungan dua ilmu berkenaan adalah acuan tepat dalam melahirkan individu yang holistik untuk berkhidmat kepada negara yang dicintai semua.

“Pendidikan tidak seharusnya tersekat sekadar peperiksaan bertulis sahaja. Apa yang lebih penting dalam kehidupan dunia realiti yang mencabar hari ini ialah pembangunan sikap atau karakter individu itu.

“Bagi kolej tentera ia memang sebati dalam naluri serta ketenteraan sejak berzaman dahulu lagi, tetapi yang penting ia harus diterapkan di sekolah sekolah lain untuk membina karakter pelajar di sana juga.

“Konsep kepimpinan masa kini sememangnya mencabar dan pasti akan berubah pada masa hadapan, maka adalah penting untuk kita mempersiapkan dengan kecemerlangan dan kepakaran akademik serta ketenteraan supaya menjadi pemimpin yang benar, tegas dan beramanah,” ujarnya.

Beliau turut diminta mengulas sama ada kokurikulum sedia ada di sekolah-sekolah perlu diperkasakan lagi keberkesanannya supaya selain akademik, pembangunan ilmu lain termasuk kepimpinan seseorang pelajar dapat dipertingkatkan lagi.

“Itu saya tak boleh nak jawab kerana itu peranan dan tanggungjawab Kementerian Pendidikan untuk memastikan segala program di peringkat sekolah seiiring dengan keperluan masa depan.

“Pelajar bukan mesin untuk mendapaytkan sijil peperiksaan sahaja tetapi juga perlu dilengkapi sifat kepimpinan dan prinsip disiplin yang tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast