Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd Roslan Mahayudin diiringi Pengarah Eksekutif de Market, Khor Hui Sin (tiga kanan) melihat harga barang-barang asas keperluan semasa membuat tinjauan sempena Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 di Pasaraya de Market, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas 2018 bagi 16 barangan harga terkawal berkuat kuasa hari ini hingga 27 Disember ini.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin , berkata skim itu dilaksanakan selama lima hari iaitu dua hari sebelum dan selepas perayaan serta pada hari perayaan.

Beliau berkata, skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bertujuan memastikan harga berpatutan dalam rantaian pengedaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.

Mohd. Roslan berkata, peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain.

“Peniaga digalakkan menjual barangan itu lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.

“Pegawai penguat kuasa KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan orang ramai di pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan serta pemantauan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 di Pasaraya de Market di sini hari ini.

Mohd. Roslan turut mengingatkan peniaga, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan skim berkenaan.

“Tindakan boleh dikenakan terhadap individu ialah penalti oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat pula, boleh dikenakan penalti oleh mahkamah sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barang harga terkawal, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000..

“Syarikat yang melakukan kesalahan sama pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun hingga RM10,000,” katanya.

Berikut senarai barangan SKHMP Krismas 2018:

  1. Ayam hidup

  2. Ayam standard

  3. Ayam super

  4. Ayam tua hidup (dikawal di Sarawak saja)

  5. Ayam Belanda import

  6. Kepak ayam (dikawal di Sarawak, Sabah, Labuan)

  7. Daging kambing tempatan bertulang (dikawal di Semenanjung saja)

  8. Daging kambing/biri-biri import bertulang

  9. Telur ayam gred A

  10. Telur ayam gred B

  11. Telur ayam gred C

  12. Tomato

  13. Lada Benggala hijau

  14. Babi hidup (Kawalan di peringkat ladang sahaja)

  15. Daging babi (Perut – harga maksimum di Sarawak, Sabah, Labuan)

  16. Daging babi (Daging, lemak – harga maksimum di Sarawak, Sabah, Labuan).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast